Halaman

10 August 2012

Perdana Menteri solat terawih di Masjid Wakaf Tembesu

Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak menunaikan solat Isyak dan terawih di Masjid Wakaf Tembesu, Kuala Terengganu, malam tadi.

Beliau yang turut diringi Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, turut menikmati jamuan moreh dan bermesra dengan penduduk tempatan selepas selesai menunaikan solat berkenaan.

Selesai majlis itu, Perdana Menteri Malaysia berlepas balik ke Kuala Lumpur dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu.

Terdahulu, beliau menghadiri majlis berbuka puasa bersama-sama rakyat Terengganu, pada majlis berbuka puasa di padang bola Kampung Padang Nenas.

Menteri Besar serta saf kepimpinan Kerajaan Negeri Terengganu turut hadir pada majlis berkenaan, sebagai penghormatan kepada pemimpin nombor satu negara.

Turut hadir majlis berbuka puasa bersama pemimpin itu ialah ketua-ketua jabatan dan penjawat awam agensi kerajaan negeri dan Persekutuan dan pemimpin masyarakat setempat.



09 August 2012

'Janji Ditepati' Tuntutan Islam, Bukan Tema Politik - PM

Oleh FAUZI MOHD

Dato' Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak berkata, tema Hari Kebangsaan tahun ini 'Janji Ditepati' bukan tema politik sebaliknya ia berpaksikan kepada tuntutan Islam.

Menurut Perdana Menteri, tema itu sebagai bukti kerajaan Barisan Nasional (BN) berpegang kepada tuntutan Islam dalam melaksanakan amanah kepada rakyat.

"Soal ini bukan soal politik, tidak perlu kita buat tema hari merdeka yang lain. Yang penting ialah kita ini orang Islam, wajib tunai janji tidak kira BN atau Pakatan Rakyat.

"Tema ini berpaksikan kepada rukun agama. Kita (BN) berjuang untuk tepati janji kepada rakyat. Kita akan tepati janji kita untuk beri kepercayaan pada rakyat," katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada majlis Berbuka Puasa Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Padang Nenas, Kuala Nerus yang dihadiri lebih 10,000 orang.

Turut hadir Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Mazlan Ngah, Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato' Mohd Nasir Ibrahim Fikri dan pemimpin-pemimpin negeri.



Dato' Sri Najib menegaskan, BN bersedia ditolak oleh rakyat pada pilihan raya umum akan datang jika rakyat merasakan kerajaan yang ditunjangi oleh parti itu tidak tunaikan janji.

"Kita bersedia ditolak oleh rakyat jika kita tidak tunaikan janji-janji kita kepada rakyat. Itu komitmen kita.



"Sesama manusia pun perlu tunaikan janji, nak berniaga pun mahu berurusan dengan yang menepati janji dan kerajaan pun kita mahukan kerajaan yang menepati janji, " jelas beliau.

Sejurus selepas itu, beliau menyampaikan sumbangan Ihsan Ramadan kepada warga emas, orang kurang upaya, ibu tunggal dan keluarga miskin berjumlah RM170,000 sumbangan Yayasan 1Malaysia Development Berhad.



Beliau turut menyampaikan sumbangan jubah, air zam-zam dan kurma kepada imam dan bilal di Parlimen Kuala Nerus.



Sebelum itu, Dato’ Seri Ahmad dalam ucapannya menyifatkan kedatangan Perdana Menteri pada majlis itu sebagai amat ditunggu-tunggu oleh rakyat.

"Ia adalah satu majlis yang amat besar maknanya kepada penduduk di DUN Tepoh dan kawasan sekitar serta seluruh rakyat Terengganu," katanya.

Selepas berbuka puasa, Perdana Menteri bersama para jemaah kemudiannya menunaikan solat maghrib di masjid berkenaan.



Dato' Sri Najib menyertai 3,000 jemaah di Masjid Wakaf Tembesu, Kuala Nerus untuk solat Isyak serta tarawih dan berlepas pulang ke Kuala Lumpur pada pukul 10.00 malam.


DATO’ NAJIB ULANGI SEJARAH AYAHANDANYA KE MENGABANG TELIPOT

OLEH: RUSLAN ABDUL RAHMAN- Pengarang Teganukita

Kehadiran Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak ke Mengabang Telipot (Masjid Padang Nenas) petang ini- 9 Ogos 2012 adalah mengulangi sejarah kedatangan ayahanda beliau, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussien 41 tahun yang lalu.


Perdana Menteri dan Menteri Besar Terengganu di sambut oleh 55 imam sebagai simbolik 55 tahun kemerdekaan Malaysia di Kg Padang Nenas, Mengabang Telipot.

Oleh itu, kehadiran pemimpin nombor satu negara ini membawa satu nostalgia penting bagi penduduk Mengabang Telipot, terutama yang berumur 50 tahun ke atas yang masih meningati kehadiran Tun Razak suatu ketika dahulu.



Allahyarham Tun Razak datang ke Mengabang Telipot sempena kempen pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit bagi memilih seorang Menteri Besar yang berkaliber untuk negeri Terengganu, berikutan perletakan jawatan oleh Tan Sri Ibrahim Fikri.

Walaupun Dato’ Mahmood Sulaiman mengambil alih selepas perletakan jawatan itu, tetapi hanya sementara untuk beberapa bulan sahaja.



Kebetulan, Allahyarham Dato’ Nik Hassan Abdul Rahman calon parti Perikatan dalam pilihanraya itu adalah Setiausaha Sulit Kepada Perdana Menteri, Tun Abdul Razak sendiri waktu itu, sudah tentu beliau turun padang untuk membantu kempen.

Bekas pemimpin Umno Mengabang Telipot, Dato’ Wan Ibrahim Othman (Cigku Wan Ibrahim) ketika dihubungi mengesahkan perisitwa itu di mana perhimpunan atau ceramah umum oleh Tun Razak diadakan betul-betul di hadapan rumahnya di simpang empat Wakaf Tengah, Mengabang Telipot, tidak jauh dari masjid Padang Nenas .

Menurutnya, ribuan orang datang mendengar ucapan atau amanat yang disampaikan oleh Tun Razak sempena pilihanraya kecil itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri,(Adun) Batu Rakit,yang juga Exco Kerajaan Negeri ketika itu, Dato’ Mansor Mohamad meletakkan jawatan mengosongkan kerusi Dun Batu Rakit untuk membolehkan pilihanraya kecil diadakan.

Itu suatu pengorbanan besar yang dibuat oleh Dato’ Mansor memandangkan Dun Batu Rakit, termasuk Mengabang Telipot adalah kubu kuat Umno pada masa itu.



Hasilnya calon Perikatan, Nik Hassan Abdul Rahman menang pilihanraya kecil berkenaan menewaskan calon Pas, Awang Abu Bakar.

Nik Hassan kemudiannya dilantik menjadi Menteri Besar Terengganu menggantikan Dato’ Mahmood Sulaiman.

Apa yang menjadi nostlagianya, ialah kehadiran Perdana Menteri, Tun Razak ke Mengabang Telipot 41 tahun yang lalu dan kini anaknya yang juga Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Najib pula datang mengulangi sejarah itu.

Dato’ Wan Ibrahim berkata, segalanya telah berubah, Mengabang Telipot yang dulunya kampong nelayan yang terpencil kini maju dengan pelbagai instusi pendidikan utama wujud di sini di samping pelbagai pembangunan dan kemajuan lain.


Ingkar puasa boleh menjadi kafir

Oleh; Esah Abdullah

Secara khusus difardukan puasa pada bulan Ramadan dan ia merupakan satu rukun daripada rukun Islam yang lima.

Penceramah bebas, Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, sesiapa yang mengingkari kewajipannya boleh menjadi kafir dan hendaklah bertaubat sebagaimana orang murtad.

“Jika terus ingkar dan enggan bertaubat individu berkenaan hendaklah dijatuhi hukuman sebagai orang yang murtad,” katanya dalam buku Risalah Ramadan terbitan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).

Menurutnya, sesiapa yang tidak berpuasa tanpa mengingkari wajibnya dia hanya jadi fasik dan pihak berwajib berhak memenjarakannya dan menghalangnya daripada makan dan minum pada waktu siang supaya ia berpuasa sekalipun zahirnya sahaja.

Katanya, berpuasa juga akan melenyapkan nafsu amarah dan memecahkan kubu yang ada pada anggota mata, telinga dan lidah di mana ibadat puasa telah melemahkan segala anggota daripada bergerak melakukan keinginan nafsu.

“Apabila perut lapar, segala anggota menjadi kenyang begitu juga sebaliknya apabila perut kenyang segala anggota menjadi lapar,” katanya.

Katanya, individu yang berpuasa dapat merasai kelaparan untuk beberapa ketika dan akan mengingatinya pada setiap masa, dengan itu ia akan bersegera mengingati kelaparan orang miskin.

“Ramadan al-Mubarak datang setiap tahun, bulan yang penuh dengan keberkatan, kelebihan, keampunan dan keistimewaannya amatlah munasabah untuk kita memahami dan mengetahui kelebihan itu,” katanya.




Pasta ikuti lawatan dan perlawanan persahabatan di Vietnam

Oleh: Suriati Ali

Akademi Sepak Takraw Terengganu (Pasta) akan mengikuti lawatan dan seterusnya mengadakan perlawanan persahabatan di Vietnam selama seminggu bermula 18 Oktober ini.

Pengerusi Pasta, Dr Mohamad Omar berkata, lawatan itu adalah sebagai penghargaan kepada Pasta yang menjadi naib juara Kejohanan Sepak Takraw bawah 16 Tahun peringkat kebangsaan baru-baru ini.

“Pasta telah mendapat undangan daripada Persatuan Sepaktakraw Vietnam untuk melawat negara itu dan bermain dengan mereka selama seminggu di sana.

“Kita akan ke sana pada tarikh berkenaan iaitu selepas pemain-pemain kita menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) kerana kebanyakan pemain kita berumur 15 tahun,” katanya.

Dr Mohamad berkata, Pasta yang berpusat di Sekolah Menengah Padang Midin di sini juga akan mengadakan jalinan kerjasama dengan sekolah-sekolah sukan sepak takraw di negara berkenaan kerana mereka juga mempunyai projek sukan sepak takraw srndiri.

"Dengan wujudnya hubungan dua hala itu, mereka boleh bertukar pengalaman dan maklumat bagi meningkatkan permainan masing-masing," katanya.



Pos Malaysia Terengganu rai anak yatim

Anak yatim menjamu selera ketika berbuka puasa anjuran Pos Malaysia Terengganu


Oleh: Mohammad Ishak

Pos Malaysia Terengganu (Pos Malaysia) meneruskan tradisi koporat sosial dengan memberi peluang kepada anak yatim di negeri ini berkongsi kehidupan dengan menyertai program yang dianjurkan oleh sektor berkenaan.

Majlis berbuka puasa bersama anak yatim sambil menyumbangkan bantuan yang diadakan di Muzium Negeri petang semalam tetap menjadi kenangan dan ingatan kepada golongan anak yatim yang dipilh menyertai program itu.

Sekumpulan 20 anak yatim sekitar Kuala Terengganu dipilih oleh badan khas untuk diraikan pada majlis berbuka puasa bersama pengurusan Pos Malaysia.

Mewakili Pengurus Pos Negeri, Wan Norsuwati Wan Othman, menyampaikan sumbangan hari raya kepada semua anak yatim yang menghadiri majlis berkenaan.

Wan Norsuwati berkata, program seumpama itu diadakan pada setiap Ramadan bagi memberi peluang kepada anak yatim bersama pengurusan dan kakitangan syarikat GLC terbabit.

Katanya, syarikat itu juga sentiasa turun padang dan mendampingi komuniti dalam usaha mendekatkan masyarakat dengan sektor koporat terutama dengan kakitangan syarikat yang sentiasa berhubung rapat dengan rakyat.

Menurutnya, sebelum majlis berbuka puasa dan penyampaian bantuan program itu turut diisi dengan satu ceramah agama yang disampaikan oleh seorang penceramah jemputan dari Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Terengganu.

Dana Raya DUN Tepoh RM1.87 juta

Oleh: Suriati Ali

Seramai 6,782 penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh menerima Dana Raya secara berperingkat-peringkat membabitkan peruntukan RM1.87 juta.

Antara kampung yang menerima adalah Kampung (Kg) Alor Damat Wakaf Tengah dengan mencatatkan bilangan penerima seramai 443 penduduk diikuti Felda Belara (287), Wakaf Tengah (371) Kampung (Kg) Gemuroh (305), Tok Jiring (296), Kg Raja dan Kg Alor Jambu masing-masing (263), Kg Jeram Hulu (262) dan Kg Padang Air pula mencatatkan jumlah (226).

Agihan dana itu dilaksanakan secara berperingkat-peringkat membabitkan tiga lokasi iaitu di Pusat Khimat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh, Dewan Sivik Padang Nenas dan Pusat Komuniti Wakaf Tengah.

Setiap penerima Dana Raya bagi DUN boleh menuntut wang masing-masing bermula 12 hingga 16 Ogos ini .

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), Tepoh YB Haji Muhammad Ramli Nuh, berkata kerajaan berusaha membantu rakyat dalam apa jua sekalipun tanpa mengira bangsa dan peringkat umur.

Sehubungan itu, katanya, mereka perlu mengingati jasa yang sudah dihulurkan dan bukannya menghentam kerajaan dengan pelbagai perkara yang tidak berfaedah.

“Gunakan Dana Raya yang diterima ini sebaik mungkin dengan membeli pelbagai perkara yang berfaedah untuk keluarga

“Mereka yang rata-ratanya warga emas, ibu tunggal dan bekerja sebagai petani, nelayan serta pekerja am nyata gembira menerima sumbangan itu berikutan mampu menampung perbelanjaan harian dan membeli kelengkapan Hari Raya Puasa. ,” katanya kepada Teganukita..

Sementara itu, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata sempena Aidilfitri tahun ini seramai 170,000 keluarga akan diberikan Dana Raya yang dianggarkan melibatkan perbelanjaan RM50 juta.

“Melalui program itu, setiap keluarga akan mendapat habuan antara RM200 hingga RM400 bergantung kepada bilangan anggota keluarga.

“Mereka yang berpendapatan isi rumah kurang daripada RM2,000 sebulan layak menerima bantuan tersebut,” katanya.


Exco berbuka dengan anggota keselamatan

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), YB Dato’ Haji Ahmad Razif Abd Rahman, meluangkan masa malam tadi untuk berbuka puasa bersama-sama anggota pasukan keselamatan yang bertugas di sempadan negara.



Beliau turut membawa kira-kira 20 pemimpin belia dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir, berbuka puasa di Markas Taktikal BN 9 Lubok Setol, Rantau Panjang, Kelantan.

“Saya sengaja membawa pemimpin belia bersama-sama rombongan hari ini supaya mereka turut merasai pahit getir dan kesusahan yang dialami anggota pasukan keselamatan menjalani ibadat puasa sambil bertugas mempertahankan benteng negara,” katanya kepada Teganukita ketika ditemui di markas tersebut.

Lima kakitangan Unit Komunikasi Negeri yang diketuai Timbalan Pengarah, Saudara Ruslan Abd Rahman, turut menyertai rombongan berkenaan.



Dato’ Haji Ahmad Razif berkata, seramai 329 anggota PGA Batalion 9 Gong Badak, ditugaskan mengawal sempadan negara dari Rantau Panjang hingga ke Pengkalan Kubor selama satu bulan, mulai 16 Julai lalu.



“Saya mengambil kesempatan untuk berbuka puasa dengan anggota PGA pada hari ini bagi memberi semangat kepada mereka yang telah berkorban meninggalkan anak dan isteri bagi menjalankan tugas menjaga sempadan negara.

“Kunjungan ini juga merupakan penghargaan negeri kepada anggota pasukan ini yang sanggup berkorban sepanjang perkhidmatan mereka demi agama, bangsa dan negara,” katanya.

Pada kesempatan itu beliau mengagih-agihkan sumbangan berupa makanan kepada semua anggota PGA yang bertugas di situ.

Beliau turut menyampaikan sumbangan cek bernilai RM10,000 daripada Kerajaan Terengganu kepada Kelab Kebajikan Polis PGA Gong Badak.



Penyerahan cek replika bagi tujuan itu diserahkan Dato’ Ahmad Razif kepada Pegawai Memenrintah Batalion 9, Supt Mohd Abduh Ismail.





JPJ tumpu tujuh jalan maut di Terengganu

Oleh: Aida Abd Rahman

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu mengenal pasti tujuh jalan utama yang berisiko berlaku kemalangan sepanjang musim perayaan ini.

Pengarahnya, Tuan Abdul Rahman Emang Anyie, berkata jalan berkenaan ialah Kilometer (Km) 126 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, Km 75 Jalan Jerangau-Jabor dan Km 45 Jalan Kuala Terengganu-Bukit Besi (Kampung Tok Dor).

Selain itu Km 68.9 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, Km 3 Jalan Kuala Berang-Tanggol (Kampung Langgar), Km 48 Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu (Kampung Sungai Ikan) dan Km 26.5 Kampung Wakaf Tapai Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu.

“Tujuh jalan maut itu akan dipantau sepanjang Operasi Penguatkuasaan Sempena Aidilfitri 2012 bermula 12 hingga 26 Ogos ini.

“JPJ akan menggandakan tumpuan di lokasi itu berikutan sering mencatat jumlah kemalangan maut yang tinggi setiap tahun, katanya selepas menjalankan pemeriksaan di depoh bas Adik Beradik di Manir di Kuala Terengganu.

Tuan Abdul Rahman berkata, JPJ akan menempatkan anggotanya di lokasi berkenaan bagi memastikan kehadiran mereka disedari orang ramai, tetapi mereka tidak akan membuat sekatan jalan sepanjang ops itu.
Bagaimanapun, beliau berkata orang ramai tetap perlu berhati-hati kerana JPJ tetap akan mengarahkan pemandu berhenti bila diperlukan.

"Kami akan memberi tumpuan khusus kepada tujuh kesalahan seperti melanggar lampu isyarat, memotong di garisan berkembar, memandu di lorong kecemasan, memotong barisan, menggunakan telefon bimbit ketika memandu, tidak memakai tali pinggang keledar dan tidak memakai topi keledar," katanya.

Menurutnya, JPJ juga akan memeriksa semua 117 bas ekspres yang beroperasi di seluruh Terengganu supaya mengikut spesifikasi dibenarkan pihak berkuasa terutama melibatkan brek dan tayar.



60 peratus pengusaha hotel miliki sijil pengesahan halal

Oleh: Aida Abd Rahman
Kebanyakan pengusaha hotel di Terengganu semakin prihatin dalam menjaga kualiti makanan dari dapur premis perniagaan masing-masing bagi meningkatkan keyakinan pelanggan apabila kira-kira 60 peratus hotel di seluruh Terengganu memiliki sijil pengesahan halal dari Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT).

JHEAT turut meluluskan 19 permohonan sijil halal baru bagi menguruskan dapur hotel sepanjang tempoh tujuh bulan pertama tahun ini.

Pesuruhjaya JHEAT, Dato’ Mohd Rozali Saleh, berkata tahap kesedaran orang ramai mengenai isu halal ini semakin meningkat sekali gus mendorong pemilik hotel memohon sijil halal sebagai satu usaha penambahbaikan perkhidmatan mereka.

"Prosedur mendapatkan sijil halal JHEAT ini memang ketat, hotel yang berjaya memperolehinya, memang ia adalah satu tanda bagi mengukur prestasi hotel mereka sendiri," katanya.

Katanya, setiap permohonan lazimnya mengambil masa 30 hari untuk diproses selepas JHEAT menerima bayaran sebanyak RM200 bagi setiap dapur.

Dato’ Mohd Rozali berkata walaupun sijil halal bukan perkara wajib, kebanyakan pemilik hotel terutama bukan Islam kini dilihat sangat sensitif dengan isu itu dan menjaga kualiti makanan yang disediakan.

"Sijil halal kini menjadi satu 'trademark' dan `trend’ di mana hotel yang memilikinya pasti menerima banyak tempahan dari syarikat dan orang persendirian," katanya.

Beliau berkata, JHEAT menempatkan 100 pegawai bagi memantau aspek pematuhan sijil halal berkenaan yang dilaksanakan secara berkala.