Secara khusus difardukan puasa pada bulan Ramadan dan ia merupakan satu rukun daripada rukun Islam yang lima.
Penceramah bebas, Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, sesiapa yang mengingkari kewajipannya boleh menjadi kafir dan hendaklah bertaubat sebagaimana orang murtad.
“Jika terus ingkar dan enggan bertaubat individu berkenaan hendaklah dijatuhi hukuman sebagai orang yang murtad,” katanya dalam buku Risalah Ramadan terbitan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).
Menurutnya, sesiapa yang tidak berpuasa tanpa mengingkari wajibnya dia hanya jadi fasik dan pihak berwajib berhak memenjarakannya dan menghalangnya daripada makan dan minum pada waktu siang supaya ia berpuasa sekalipun zahirnya sahaja.
Katanya, berpuasa juga akan melenyapkan nafsu amarah dan memecahkan kubu yang ada pada anggota mata, telinga dan lidah di mana ibadat puasa telah melemahkan segala anggota daripada bergerak melakukan keinginan nafsu.
“Apabila perut lapar, segala anggota menjadi kenyang begitu juga sebaliknya apabila perut kenyang segala anggota menjadi lapar,” katanya.
Katanya, individu yang berpuasa dapat merasai kelaparan untuk beberapa ketika dan akan mengingatinya pada setiap masa, dengan itu ia akan bersegera mengingati kelaparan orang miskin.
“Ramadan al-Mubarak datang setiap tahun, bulan yang penuh dengan keberkatan, kelebihan, keampunan dan keistimewaannya amatlah munasabah untuk kita memahami dan mengetahui kelebihan itu,” katanya.