Halaman

11 August 2012

Rezeki peniaga lemang Kijal melimpah sempena Ramadan

Oleh: Aida Abd Rahman

Kehadiran Ramadan membawa rezeki melimpah kepada peniaga lemang di Kijal, Kemaman yang dikenali 'Lemang Valley', apabila deretan puluhan gerai di situ tidak putus-putus menerima pelanggan.

Beroperasi sepanjang tahun, Lemang Valley menjadi tempat persinggahan penggemar lemang baik masyarakat setempat mahupun pengunjung luar.

"Lemang Kijal ini tak sama dengan tempat lain. Isteri dan anak saya sangat sukakan lemang Kijal dan saya diingatkan membeli lemang ini sebelum pulang ke Johor," kata Toh Kian Heong.

Peniaga berusia 44 tahun itu yang berada di Terengganu atas urusan kerja, membeli dua batang lemang sebagai buah tangan untuk keluarganya di Johor.

Sementara itu, seorang peniaga Zubaidah Ismail, 42, bersyukur kerana lemang yang dijualnya ada peminat setia selain turut digemari pelancong asing.

"Bas ekspress yang membawa pelancong selalu singgah di sini dan pelancong asing termasuk dari Eropah, China dan Singapura turut memuji keenakan lemang dan mempromosikannya di negara asal mereka.

"Pada hari biasa, kakak menjual dalam 200 batang lemang, namun pada Ramadan ini lemang yang dijual tiga kali ganda berikutan peningkatan permintaan dari penggemar lemang," katanya.

Dibantu enam pekerja, Zubaidah berkata peniaga lemang di situ mampu meraih pendapatan lumayan sehingga RM10,000 untuk tempoh tiga hingga empat hari menjelang Aidilfitri.

Seorang lagi peniaga, Rosnani Salleh, 53 yang sudah lima tahun berniaga di Lemang Valley itu, berkata juadah tradisi tersebut tetap menjadi pilihan orang ramai sepanjang Ramadan dan Aidilfitri.

"Sebatang lemang dijual antara RM3 hingga RM5 bergantung pada saiz buluh yang digunakan dan harga itu masih murah dan berbaloi dibandingkan kesukaran kami memasak lemang ini yang terpaksa menahan panas bara api.

"Mak cik bersyukur kerana dengan hasil jualan lemang ini lah mampu menyara kehidupan kami sekeluarga bersama tujuh orang anak," katanya yang akan membuka gerai pada malam raya hingga minggu pertama Aidilfitri.

Bagi pengunjung yang tidak pernah ke sini, apa yang anda perlu lakukan ialah memandu ke Kemaman melalui jalan pantai sehingga ternampak papan tanda bertulis "Lemang Valley".