Halaman

10 August 2012

Puan Ruziyani tetap berjaya walaupun tiada pengalaman

Oleh: Suriati Ali

SECEBIS ilmu yang ditimba sewaktu berada dalam aliran sains pertanian ( tingkatan empat dan lima) di bangku sekolah menengah 23 tahun lalu, tidak menjadi halangan bagi pemilik Zie Nursery, Puan Ruziyani Deraman, 40, untuk menempah nama sebaris usahawan berjaya.

Puan Ruziyani nekad menjalankan perniagaan berasaskan tanaman hiasan dan landskap walaupun menyedari tiada pengalaman dan kekurangan modal.

Katanya, pada awal memulakan perniagaan 10 tahun lalu, dia hanya mengetahui beberapa perkara asas berkaitan tanaman pokok iaitu bagaimana kaedah mengembur tanam, penjagaan pokok hiasaan, cantuman dan membiak tanaman.

“Semua itu dipelajari ketika berada di dalam aliran sains pertanian sewaktu di sekolah menengah di samping mencungkil pengalaman daripada beberapa pengusaha berpengalaman.

“Sebelum serius dalam bidang perniagaan ini, saya ada menimba pengalaman bekerja sebagai kerani, operator pengeluaran dan jurujual dengan beberapa syarikat swasta di luar Terengganu,” katanya.

Menurutnya, semua pekerjaan itu tidak kekal memandangkan ayah tidak mengemarinya bekerja di negeri lain selain menginginkannya pulang menjalankan perniagaan di Terengganu.

“Peluang yang ditawarkan itu dianggap sebagai rezeki yang cukup berharga kerana sudah lama berangan-angan untuk memiliki perniagaan sendiri.

“Berbekalkan modal RM6,000 hasil sumbang keluarga, saya dibantu suami dan anak-anak berazam mengekalkan prestasi cemerlang Zie Nursery di samping berusaha menawarkan produk terbaik dan berkualiti kepada pelanggan,” katanya.

Katanya, dia berpuas hati dengan apa yang diusahakan sekarang kerana mampu menawarkan lebih10,000 spesies pokok bunga dan hiasan dalam tempoh sebulan kepada pelanggan.

“Bekalan tanaman yang diperoleh daripada beberapa pemborong tersohor dari Johor, Selangor dan Pahang itu amat digemari pelanggan terutama pokok bonsai, janda kaya, daisy, melati, orkid dan sebagainya.

“Saya berazam akan memperluaskan perniagaan yang diceburi ini dengan membuka cawangan lain di lokasi yang bersesuaian berikutan apa yang diusahakan ini mendapat sambutan menggalakkan,” katanya.

Katanya, rata-rata pengemar pokok hiasan akan datang kembali untuk mendapatkan tanaman disukai kerana beranggapan harga yang ditawarkan sangat berpatutan selain berpuas hati dengan kesegaran dan kualiti pokok.

“Pelanggan mengakui tanaman yang dijual ini agak murah iaitu berbeza antara RM1 hingga RM3 berbanding nursery lain,” katanya.

Zie Nursery yang beroperasi di Jalan Wakaf Tengah, Kuala Terengganu itu turut menawarkan perkhidmatan menjual peralatan dan kelengkapan landskap seperti kerusi taman, batu hiasan, jubin, baja, cendawan dan bangau hiasan.