Halaman

10 August 2012

TMT undang penulis untuk promosi basikal

Oleh; Esah Abdullah

Tourism Malaysia Terengganu (TMT) akan mengundang penulis majalah tempatan dan luar negara dalam usaha memperhebatkan promosi Pakej Pelancongan Berbasikal 1 Malaysia Terengganu yang telah dilancarkan baru-baru ini.

Pengarah TMT, Encik Mohd Nasir Kushairi berkata, sebagai permulaan sebuah majalah basikal popular berpusat di Kuala Lumpur yang turut mempunyai edaran di Singapura akan mendekati sendiri pakej basikal yang ditawarkan oleh agen pelancongan di negeri ini.

Katanya, mereka akan mencuba sendiri bentuk pakej yang dtawarkan bagi memudahkan penulisan untuk menarik pembaca atau peminat basikal mengunjungi Terengganu terutama pada tahun 2013 yang merupakan Tahun Melawat Terengganu.

``Selain Terengganu kumpulan majalah tersebut turut memilih pakej berbasikal di beberapa negeri untuk dipromosikan kepada masyarakat umum,’’ katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis berbuka puasa bersama pengiat pelancongan dan media di Terengganu Equestrian Resort (TER) di sini, petang semalam. TMT turut meraikan seramai 40 pelajar tahfiz Kuala Ibai di majlis berkenaan.

Katanya, di negeri ini terdapat lima pakej pelancongan berbasikal disediakan iaitu Mountain Bike Package, Adventure Package, Adventure Package 2, Terrapuri Cycling Explorer dan Terengganu Cycling Expolorer masing-masing di sekitar daerah Kuala Terengganu, Marang dan Setiu.

Katanya TMT juga merancang memperluaskan pakej berkenaan ke destinasi pelancongan di daerah lain seperti Besut, Kemaman, Dungun dan Hulu Terengganu.

Menurut beliau, selain dapat mempromosi dan menggalakkan pelancongan berbasikal di kalangan pelancong domestik dan antarabangsa mereka juga dapat melihat panorama indah menerusi kayuhan santai serta berpeluang mencuba lebih dekat produk pelancongan.