Halaman

05 August 2012

Panglima ATM berbuka puasa bersama anggota TUDM Gong Kedak


Jen Tan Sri Zulkifeli bersalaman dengan pegawai kanan TUDM Gong Kedak.

Oleh: Mohammad Ishak

Seramai 400 pegawai dan anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Pangkalan Udara Gong Kedak dekat Jertih menyertai majlis berbuka puasa bersama Panglima Angkatan Tentera Malaysia Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin di pangkalan berkenaan.

Majlis yang julung kali dihadiri pemimpin utama angkatan tentera itu turut dihadiri Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Rodzali Daud dan Komander Pangkalan, Brig Jen Mohd Faudzi Ahmad.

Selain itu pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kota Putera dan Sekolah Menengah Tengku Mahmod yang dijadikan anak angkat kepada TUDM itu juga turut menyertai majlis berkenaan.

Selepas selesai berbuka puasa semua jemputan kemudian mennunaikan solat sunat tarawih dan majlis penyampaian kuih raya kepada anggota yang terbabit dengan tugas sempena sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.

Brig Jen Mohd Faudzi berkata, majlis yang diadakan di Masjid TUDM itu mencatat sejarah kerana ia pertama kali dihadiri oleh panglima ATM.

Katanya, pelajar sekolah yang dijadikan anak angkat TUDM juga berpeluang beramah mesra dengan pegawai dan anggota TUDM selain dapat merasai suasana anggota ketika berbuka puasa.

Katanya, anggota yang terpaksa menjalankan tugas ketika semua umat Islam lain menyambut hari raya tidak ketinggalan diberikan sedikit sumbangan sebagai tanda penghargaan terhadap anggota dan keluarga terbabit.

Tan Sri Zulkifeli pula mahu semua anggota tentera meningkatkan keupayaan dalam tugas masing-masing selain menjaga disiplin yang menjadi pra syarat kepada semua anggota pasukan berkenaan.