Kelebihan bersedekah dan amalan menderma pada bulan Ramadan dianggap paling afdal dan mereka yang berbuat demikian menjadikan orang yang beriman serta membawa masyarakat kepada suasana tolong menolong.
Pendakwah bebas, Dr. Zukifli Muhamad Al-Bakri berkata, dengan memahami hadis Rasulullah seperti yang diriwayatkan at-Tarmizi iaitu siapa yang memberi makan orang yang berpuasa akan diberi pahala orang puasa tersebut tanpa dikurangi sedikit pun pahalanya.
“Hikmahnya menjadi orang beriman yang berlumba-lumba untuk menjamu orang berpuasa mampu mewujudkan jaringan kemasyarakatan lebih utuh dan padu,” katanya.
Menurutnya, membaca doa ketika berbuka menjadikan seseorang mengikhlaskan diri kepada Tuhan dan mengiktiraf kurniaan rezeki Nya serta mengharap pahala daripada Nya.
Katanya, Ramadan sebagai bulan tamrin dan latihan dalam menyusun langkah kehidupan atas asas syariat Allah dan boleh memberi semangat kerohanian yang tinggi untuk mendekatkan diri kepada Allah.
“Ramadan merupakan satu musim yang sarat dengan kebajikan dan kebaikan sama ada yang fardu atau sunat seperti qiamullail, sedekah, solat Terawih dan tadarus al-Quran,” katanya.