Halaman

08 August 2012

Jabatan kerajaan digalak beri hadiah kecemerlangan : SUK

Oleh: Aida Abd Rahman

Setiap jabatan kerajaan di negeri ini digalakkan memberi hadiah kecemerlangan bulanan kepada setiap kakitangan bagi menyuntik semangat dan komitmen kakitangan dalam menjalankan tugas masing-masing.

Pendekatan itu selaras dengan usaha Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri di Wisma Darul Iman yang memilih lima kakitangan mereka setiap bulan untuk menerima anugerah kecemerlangan itu.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah, berkata galakan kepada kakitangan bukan sahaja anugerah perkhidmatan cemerlang setiap bulan di peringkat jabatan dan unit-unit masing-masing, malah juga dipertandingkan sehingga ke peringkat negeri.

“Kakitangan yang cemerlang di peringkat negeri berpeluang untuk menunaikan umrah atau Haji dan menerima RM500 setiap seorang sumbangan kerajaan atas kecemerlangan mereka.

“Kerajaan negeri membelanjakan RM225,000 bagi menyediakan sumbangan wang tunai itu yang mana peruntukan itu termasuk perbelanjaan menunaikan umrah atau Haji kepada penjawat awam yang terpilih,” katanya.

Beliau berkata, insentif itu sebagai galakan bagi memastikan kumpulan jentera kerajaan itu mampu menghasilkan produktiviti dan kualiti kerja yang mencapai hasrat digariskan ketua jabatan masing-masing.

Pada masa yang sama, penjawat awam juga perlu menerapkan nilai murni dalam budaya kerja bagi memastikan mereka mampu menjadi penghubung antara kerajaan dan juga orang awam dengan lebih efektif dan responsif.