7,463 warga Felda dapat bantuan berganda
Felda akan mengagihkan ‘durian runtuh’ berjumlah kira-kira RM2 juta kepada 7,463 keluarga peneroka di 20 tanah rancangan Felda di negeri ini mulai Rabu ini.
Pemberian wang Hari Raya Aidilfitri itu merupakan tambahan bonus kepada peneroka Felda di seluruh negara seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, baru-baru ini, berupa pemberian wang Hari Raya Aidilfitri berjumlah RM43.2 juta.
Penguus Besar Felda Wilayah Terengganu, Haji Abd Malib Abd Rani berkata peneroka yang masih menghantar tuaian buah kelapa sawit kepada Felda akan diberi wang tunai sebanyak RM400 manakala peneroka yang menjualnya kepada pihak lain akan menerima RM200.
Beliau berkata, pihaknya berharap bantuan itu dapat meringankan beban keluarga peneroka untuk menyambut Aidilfitri tahun ini.
Pengagihan bantuan berkenaan kepada semua peneroka Felda dijangka selesai selewat-lewatnya sebelum 15 Ogos, bagi membolehkan mereka membuat persiapan awal menyambut hari lebaran.
Bantuan tersebut memberi kegembiraan berganda kepada peneroka kerana sebelum ini mereka diberi RM10,000 tunai bagi setiap keluarga peneroka (suami RM5,000, isteri RM5,000) dan bakal dibayar RM5,000 lagi kepada anak-anak peneroka tidak lama lagi ekoran penyenaraian Felda di Bursa Malaysia.
Pihak pengurusan Felda berharap duit 'durian runtuh' itu akan digunakan sebaiknya bagi kepentingan keluarga masing-masing.