Rata-rata peserta Pertandingan Pelita Raya 2012 membabitkan lima kampung di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh pasti tidak sabar mengetahui kedudukan masing-masing sama ada layak bergelar pemenang atau sebaliknya.
Pertandingan selama tiga hari dan berakhir 5 Ogos itu menawarkan hadiah keseluruhan RM46,500 di mana johan individu layak membawa pulang wang tunai RM2,000, naib juara (RM1,500), ketiga (RM1,000) dan tempat keempat hingga ke 15 pula bakal memperoleh RM300.
Keputusan pertandingan itu bakal diumumkan dalam majlis yang akan diadakan dalam tempoh terdekat.
Penolong Kurator-Perhubungan dan Pemasaran LMNT Mohd Saberi Muda, berkata pertandingan pelita yang berakhir malam tadi mendapat persaingan hebat kerana rata-rata mereka sudah berpengalaman mencipta pelbagai bentuk dan kerangka bagi menempatkan pelita.
Katanya, pihaknya berasa bangga kerana mampu menganjurkan program yang mampu menghidupkan kembali tradisi lama ini sejak 2009 lagi.
Di samping itu, ia juga dapat menceriakan suasana kampung, memupuk semangat kerjasama antara penduduk dan pemimpin setempat.
“Pertandingan ini akan diteruskan kerana bukan saja mampu menyemarakkan kembali tradisi nenek moyang malah dapat mengasah bakat penduduk berkaitan mereka cipta pelita raya.
“Apa yang membanggakan, pelita yang dipasang itu bukan hanya dibeli dari kedai malah diperbuat daripada pelbagai jenis barangan terbuang seperti tin makanan, tempurung kelapa, botol plastik dan buluh,” katanya.
Menurutnya, LMNT dengan dibantu pelbagai pihak termasuk pemimpin setempat akan terus menganjurkan program seumpama ini sebagai usaha mengekal dan mengembangkan tradisi itu.