Halaman

07 August 2012

Orang ramai penuhi bandar raya sempena Nuzul al-Quran

Oleh: Suriati Ali

Rata-rata penduduk Terengganu mengambil kesempatan membawa keluarga masing-masing keluar membeli barangan dan kelengkapan menyambut Syawal, sempena hari cuti Nuzul al-Quran, semalam .

Mengenangkan bulan Syawal bakal disambut umat Islam kira-kira 12 hari lagi, mereka tidak melepaskan peluang membeli barangan seperti pakaian, kasut dan songkok sempena hari cuti itu.

Tinjauan Teganukita kita mendapati, hampir semua jalan utama di bandar raya Kuala Terengganu, terutama Jalan Banggol, Jalan Tok Lam dan Jalan Sultan Zainal Abidin penuh sesak dengan pelbagai jenis kenderaan.

Seorang Penduduk dari Bukit Payong, Puan Zaleha Yusof, 39, berkata dia mengambil kesempatan membawa anak-anak membeli apa yang patut.

“Saya lebih selesa berbuat demikian dipertengahan Ramadan seperti hari ini kerana mengetahui minggu akhir Ramadan kelak, keadaan bandar raya ini bertambah sibuk.

“Semua pasar raya dan premis kelengkapan raya juga sibuk dan penuh sesak dengan orang ramai, suasana itu membuatkan saya tidak selesa,” katanya.

Penduduk dari Tepoh, Puan Rafidah Hanafiah, berkata semua jalan utama di bandar raya ini sangat sesak sehingga menyukarnya mencari tempat letak kenderaan.

Katanya, dia terpaksa letak kereta kira-kira satu kilometer dari tempat yang ingin dituju semata-mata mahu memenuhi kehendak anak-anak yang ingin membeli kasut dan pakain raya.

“Lebih baik rasanya membuat persiapan daripada sekarang berbanding disaat akhir Ramadan di mana sudah tentu jalan raya lebih sesak berbanding hari ini,” katanya.