Kerajaan tidak bercadang mengubah peraturan berhubung had umur pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi sektor swasta.
Ini bermakna pekerja swasta yang genap berusia 55 tahun dibenarkan mengeluarkan semua caruman mereka dalam KWSP seperti peraturan sekarang ini.
Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, ketika mengumumkan perkara itu kelmarin menegaskan kerajaan belum bercadang mengubah peraturan tersebut walaupun usia persaraan pekerja swasta dilanjutkan daripada 55 tahun kepada 60 tahun berkuatkuasa tahun depan.
Beliau berkata, keputusan melanjutkan usia persaraan menimum bagi pekerja swasta daripada 55 tahun kepada 60 tahun tidak melibatkan pengeluaran penuh wang simpanan KWSP.
Dengan pengumuman itu terbukti sudah spekulasi yang disebarkan pihak tertentu kononnya kerajaan akan menaikkan had umur bagi pengeluaran KWSP pekerja swasta kepada 60 tahun, tidak benar dan berniat jahat.
Dalam isu pengeluaran wang simpanan KWSP ini pihak berkenaan memang sengaja mahu memfitnah dan memburukkan kerajaan semata-mata, seperti beberapa kes lain.
Mereka sengaja mereka-reka cerita kononnya kerajaan sengaja tidak mahu ‘memulangkan’ wang simpanan pekerja swasta dengan cara melengah-lengahkan tempoh pengeluarannya.
Selama ini, kerajaan ‘menyimpan’ sebahagian wang pekerja swasta melalui caruman KWSP bagi menjaga masa depan mereka kerana pekerja swasta tidak mendapat pencen.
Kerajaan tidak pernah berniat untuk menggunakan wang KWSP bagi apa jua tujuan seperti yang dituduh pihak pembangkang.
Pengumuman terbaru Menteri Kewangan berhubung isu tersebut menjelaskan keadaan di mana kerajaan begitu prihatin dalam menjaga kebajikan pekerja swasta.