Oleh: Aida Abd Rahman
Kebanyakan pengusaha hotel di Terengganu semakin prihatin dalam menjaga kualiti makanan dari dapur premis perniagaan masing-masing bagi meningkatkan keyakinan pelanggan apabila kira-kira 60 peratus hotel di seluruh Terengganu memiliki sijil pengesahan halal dari Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT).
JHEAT turut meluluskan 19 permohonan sijil halal baru bagi menguruskan dapur hotel sepanjang tempoh tujuh bulan pertama tahun ini.
Pesuruhjaya JHEAT, Dato’ Mohd Rozali Saleh, berkata tahap kesedaran orang ramai mengenai isu halal ini semakin meningkat sekali gus mendorong pemilik hotel memohon sijil halal sebagai satu usaha penambahbaikan perkhidmatan mereka.
"Prosedur mendapatkan sijil halal JHEAT ini memang ketat, hotel yang berjaya memperolehinya, memang ia adalah satu tanda bagi mengukur prestasi hotel mereka sendiri," katanya.
Katanya, setiap permohonan lazimnya mengambil masa 30 hari untuk diproses selepas JHEAT menerima bayaran sebanyak RM200 bagi setiap dapur.
Dato’ Mohd Rozali berkata walaupun sijil halal bukan perkara wajib, kebanyakan pemilik hotel terutama bukan Islam kini dilihat sangat sensitif dengan isu itu dan menjaga kualiti makanan yang disediakan.
"Sijil halal kini menjadi satu 'trademark' dan `trend’ di mana hotel yang memilikinya pasti menerima banyak tempahan dari syarikat dan orang persendirian," katanya.
Beliau berkata, JHEAT menempatkan 100 pegawai bagi memantau aspek pematuhan sijil halal berkenaan yang dilaksanakan secara berkala.