Halaman

05 August 2012

Umno, Bn kemuka calon terbaik


Oleh: Kamarudin Mat Akib


Umno dan Barisan Nasional (BN) mengemukakan calon-calon terbaik untuk bertanding di kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU 13), bagi memastikan nasib rakyat negeri ini terus dibela.

Setiausaha Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang, berkata lebih 200 calon daripada pelbagai latar belakang pendidikan dan kerjaya dicalonkan bagi kerusi Parlimen dan DUN di seluruh negeri ini.

“Calon-calon berkenaan merupakan bakal pemimpin pilihan rakyat peringkat bawahan yang boleh menambat hati pengundi dan dikemukakan pelbagai pihak untuk diketengahkan kepada pucuk pimpinan BN.

“Nama-nama mereka telah pun dihantar kepada Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak, untuk dipertimbangkan sebagai calon,” katanya dalam satu temubual eksklusif dengan Teganukita.

Beliau meramalkan pilihan raya kali ini lebih sengit, tetapi pihaknya yakin Barisan Nasional (BN) akan terus kekal memerintah negeri Terengganu dan menabur jasa kepada rakyat yang sebahagian besar tidak akan mengalih sokongan mereka kepada parti pembangkang.

Dato’ Tengku Putera menegaskan jika semua pihak akur dengan pilihan terakhir pucuk pimpinan BN yang memilih calon-calon bakal bertanding, tidak ada halangan bagi BN menang besar di Terengganu pada PRU 13 nanti.

Beliau berkata, tidak ada sebab bagi rakyat negeri ini menolak Umno dan BN kerana berdasarkan rekod Kerajaan BN mampu mentadbir negeri Terengganu jauh lebih baik berbanding Pas dan rakan mereka dalam Pakatan Rakyat.

“Wakil rakyat Umno dan BN sentiasa bekerja keras dan mencurahkan khidmat mereka kepada rakyat, tanpa mengira masa bagi memenuhi semua keperluan penduduk tempatan,” ujar beliau.

Beliau turut yakin dengan ketokohan dan kehebatan Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak membawa transformasi negara dan Terengganu akan mendapat rahmat daripada kepimpinan beliau.

“Perdana Menteri melakukan bermacam-macam program dan menyediakan pelbagai insentif kepada rakyat negara ini di mana rakyat Terenganu turut menerima habuan lumayan hasil cetusan pemikiran beliau membela nasib rakyat,” tambahnya.