Halaman

15 August 2012

1,500 peserta sertai Khatam al-Quran Rakan Muda Peringkat Negeri Terengganu



Oleh: Mohammad Ishak 

Program Rakan Muda Ramadan dengan pengisian Khatam Al-Quran Peringkat Negeri Terengganu tahun ini semakin mendapat sambutan daripada generasi muda yang berminat mewarisi pembacaan kitab suci berkenaan.

Program yang berlanhsung di Masjid Kampung Limbongan,Besut itu adalah tahun ke 8 dianjurkan oleh Jabatan Belia dan Sukan bertujuan mengajak golongan muda membina kesedaran diri selain meningkatkan amal ibadah pada bulan Ramadan.

Seramai 1,500 peserta dari seluruh negeri ini menyertai majlis khatam berkenaan yang dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera, YB Muhammad Pehimi Yusof mewakili Ahli Exco Kerajaan Negeri,YB Rozi Mamat.

Hadir sama Pegawai Daerah Besut,Ab Rahim Jusoh, Timbalan Ketua Polis Daerah Besut,ASP Noor Zainy Mohd Nor dan pegawai kanan kerajaan peringkat daerah.

Serentak dengan perasmian program itu, peserta dan jemputan lain turut diraikan dengan majlis berbuka puasa yang diadakan di perkarangan

Masjid Kampung Limbongan, yang baru beroperasi awal Ramadan tahun ini.

Berucap pada majlis itu Muhamad Pehimi bangga dengan minat orang muda masa kini terhadap al-Quran dan satu perkembangan baik untuk pembangunan umat Islam.

Katanya, golongan muda juga kini turut mendekati masjid dan terbukti apabila sebahagian besar masjid di negeri ini menggunakan khidmat hafiz muda untuk memimpin solat tarawih.

Beliau berharap, jabatan belia meneruskan aktivitti seumpama itu bagi membentuk generasi belia yang celik al-Quran selain menggalakkan mereka mendekati agama Islam.

Anak yatim diminta ubah nasib keluarga

Oleh: Suriati Ali

Anak yatim di Terengganu perlu bangkit dalam semua aspek terutama membabitkan pelajaran bertujuan mengelak mewarisi kemiskinan keluarga.



Timbalan Setiausaha Kerajaan negeri (Pengurusan) Dato' Wan Ahamad Wan Muda, berkata pelajaran cukup penting bagi setiap pelajar, jika cemerlang dalam pelajaran, ia dapat membantu memperoleh kerjaya yang disegani.



"Anak-anak yang tinggal di Rumah Anak Yatim Darul Falah juga diingatkan melaksanakan perkara sama supaya kita mampu mengubah kehidupan asal kepada yang lebih selesa.

“Seboleh-bolehnya jangan fikir masalah atau bebanan kerana semua itu adalah tanggungjawab pelbagai pihak terutama kerajaan,” katanya juga Ahli Lembaga Pengarah Husa Network Sdn Bhd.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Berbuka Puasa Manisfm Bersama Anak-anak Yatim di Tanjung Vista, Kuala Terengganu, petang semalam.

Hadir sama, pengarah Eksekutif Manis FM, Haji Che Abd Rani Mohd dan Pengurus Besar Manis FM, Encik Mahari Abdul Rahman.



Kira-kira 30 anak yatim dari Rumah Anak Yatim Darul Falah, Bukit Payong hadir pada majlis yang turut diselitkan dengan persembahan amal oleh penyanyi tempatan Wan Mohd Izuan Wan Omar.



Dato’ Wan Ahamad turut memberitahu gunakan segala kemudahan yang disalurkan kerajaan dan rumah darul falah seperti bantuan kelengkapan pelajaran, duit saku, kelas tuisyen dan sebagainya.



Manis fm yang menggunakan `tagline’ ‘Pilihan Terunggul Di Pantai Timur’ bijak memikat hati pendengar melalui persembahan hebahan dan muzik yang menarik sepanjang 24 jam bersiaran setiap hari.

Liputan stesen berkenaan boleh diikuti melalui gelombang 102.0 fm bagi mereka yang tinggal di kawasan Kuala Terengganu, Marang dan Hulu Terengganu; 90.6fm (Besut, Kelantan dan Selatan Thailand) manakala 95.1 fm (Kemaman dan Pahang).

Radio itu bukan saja menyiarkan lagu pilihan pendengar, malah setia melaporkan berita terkini serta pelbagai program menarik berkaitan negeri ini serta Kelantan dan Pahang.


4,819 terima dana raya Dun Batu Rakit

Oleh; Esah Abdullah



Seramai 4,819 orang penerima Dana Hari Raya bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Batu Rakit telah menerima hak masing-masing dalam majlis yang berakhir semalam membabitkan peruntukan RM1.4 juta.

Pegawai Khas kepada Adun Batu Rakit, Encik Kamarudin Mohamad berkata, jumlah itu mewakili 30 buah kampung dalam Dun atau Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).



Katanya, majlis pengagihan telah diadakan di tiga tempat berasingan untuk memberi keselesaan kepada penerima iaitu di Dataran Bestari Kampung Padang Polis (8 Ogos), Dewan Serbaguna Wakaf Chatur, Maras (9 Ogos) dan Pulau Redang (14 Ogos).

Menurutnya, terdapat empat kategori penerima dana itu seperti warga emas (RM200), orang miskin (RM300), orang kurang upaya (RM300) dan ibu tunggal (RM300)



“Sejumlah 3,010 orang miskin, warga emas (906), orang kurang upaya (303) dan ibu tunggal (600) layak menerima dana raya tahun ini,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, merangkap Adun Batu Rakit, YB Haji Khazan Che Mat telah merasmikan ketiga-tiga majlis itu yang diadakan iaitu di Dataran Bestari Batu Rakit, Dewan Serbaguna Wakaf Chagak dan Pulau Redang yang berakhir semalam.





Pemuda beramal di bulan puasa

Oleh; Esah Abdullah



Penyelaras Pergerakan Pemuda UMNO Dewan Undangan Negeri (Dun) Batu Rakit.mengadakan aktiviti berkunjung ke rumah warga emas menyampaikan sumbangan sempena bulan Ramadan bagi meringankan beban.

Setiaushanya, Encik Nazri Mamat berkata, sebanyak 30 hamper berupa barangan keperluan harian seperti beras, gula, minyak, tepung , biskut, milo dan susu diagihkan kepada 30 orang golongan sasar

“Adun Batu Rakit, Haji Khazan Che Mat turut meluangkan masa bersama Pemuda telah berkunjung ke rumah warga emas untuk menyampaikan sumbangan,” katanya.



Katanya, setiap tahun Pemuda akan berusaha mencari dana untuk memenuhi tanggung jawab sosialnya, beramal mengikut kemampuan dengan mengunjungi 30 buah kampung dalam Dun diketuai Pengerusi Penyelaras Pemuda Encik Azhar Mohd Nor.

“Setiap cawangan kita akan pilih seorang warga emas yang uzur untuk menerima sumbangan ini,” katanya.




Pastikan rumah selamat sebelum pulang beraya

Oleh: Suriati Ali

Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) Terengganu meminta orang ramai memastikan semua sambungan peralatan yang tidak digunakan ditanggalkan daripada soket sebelum meninggalkan kediaman untuk menyambut Hari Raya Aidifitri.

Penguasa Kanan I Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Terengganu, Encik Md Redzuan Md Hasan, berkata peralatan elektrik seperti televisyen, seterika, periuk nasi dan sebagainya tidak wajar dibiarkan pada soket kerana dibimbangi pelbagai kemungkinan boleh berlaku.

“Pastikan juga tiada barangan mudah terbakar diletakkan berhampiran atau bersentuhan dengan peti sejuk yang masih berfungsi dan injap gas memasak ditanggalkan daripada tong gas,” katanya.

Katanya, langkah pencegahan dan penjagaan itu cukup penting bagi mengelak kebakaran berlaku sepanjang tempoh pulang berhari raya.

“Pemilik rumah juga disarankan meninggalkan nombor telefon kepada jiran yang tidak pulang bercuti supaya mudah dihubungi sekiranya berlaku kecemasan ke atas rumah mereka.

“JBP turut menasihati pemilik kenderaan persendirian yang mahu melakukan perjalanan jauh supaya memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik terlebih dahulu,” katanya.

JBP sentiasa bersedia membantu orang ramai yang berada dalam kecemasan, mereka boleh hubungi talian 999 atau 09-622 444 untuk mendapatkan bantuan segera


14 August 2012

Payang Walk dibuka kepada pengunjung 6 Oktober ini

Oleh: Aida Abd Rahman
Pelbagai acara kebudayaan dari setiap daerah serta pameran pencapaian dan peristiwa menarik di Terengganu akan dipaparkan kepada pengunjung sepanjang laluan Payang Walk, Kuala Terengganu bermula 6 Oktober ini.

Insiatif kerajaan negeri dengan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu dan jabatan pelancongan negeri itu melibatkan laluan pejalan kaki sepanjang hampir satu kilometer bagi fasa I yang bermula dari Pejabat Besar Pos Kuala Terengganu sehingga ke Simpang Jalan Banggol.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Dato’ Abdul Rahin Mohd Said, berkata laluan yang terlibat dengan acara itu akan ditutup kepada semua kenderaan bermula jam 5 petang hingga 12 tengah malam.


“Di Payang Walk nanti kita akan pamerkan kejayaan dan peristiwa menarik di Terengganu mengikut musim tertentu dan permulaan mungkin kita memaparkan kejayaan Sukma (Sukan Malaysia), diikuti Monsoon Cup dan World Endurance Challenge.

“Kita mengadakan aktiviti ini bagi menjenamakan destinasi pelancongan di bandar raya itu selari dengan pembangunan produk lain seperti pembangunan Pulau warisan, Denai Warisan di Kampung Losong, Muzium Negeri, Taman Tamadun Islam, Pulau Duyung, Pembangunan Kuala Terengganu City Centre, aktiviti menyusur sungai (river cruise) dan pembangunan Pasar Payang,” katanya katanya di sidang akhbar sempena majlis berbuka puasa di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, semalam (13 Ogos).

Dato’ Abdul Rahin berkata, produk baru pelancongan itu nanti mampu mewujudkan keceriaan, keselesaan dan menghidupkan suasana waktu malam di Kuala Terengganu yang sebelum ini sepi tanpa pengunjung,”

Selain itu, menurut Dato’ Abdul Rahin kewujudannya dapat menjenamakan semula destinasi pelancongan di Kuala Terengganu terutama kawasan persekitaran seperti Istana Maziah, Bukit Puteri, Dataran Syahbandar, Bazar Warisan dan pasar Kedai Payang yang menjadi kawasan segi tiga tumpuan perniagaan dan pelancongan di Bandar Raya Kuala Terengganu.

“Payang Walk dapat memperkenalkan kepelbagaian produk pelancongan di lokasi satu hentian yang memberi keselesaan kepada pelancong tanpa kekangan kesesakan lalu lintas di Kuala Terengganu.

“Kita juga menyediakan kemudahan beca mengangkut dan menurunkan penumpang dari Terminal Beca di kawasan parkir kenderaan di Dataran Syahbandar hingga ke Terminal Beca pintu masuk utama Pasar Kedai Payang,” katanya.

Katanya, ruang pameran, demonstrasi, jualan barangan antik, pertukangan kayu, tembaga, pembuatan keris, seni anyaman dan seni tenunan songket secara interaktif turut diwujudkan sebagai tarikan dan pilihan pengunjung.



TAHUN 2000, WANG ZAKAT FITRAH PUN DINAFIKAN HAK KERANA BUKAN PENYOKONG

Oleh: Ruslan bin Abdul Rahman, Pengarang TEGANUKITA



Ingat atau tidak lagi, zaman pemerintahan Terengganu (1999-2004), orang-orang miskin juga turut dinafikan wang zakat mereka.

Menjelang Aidilfitri tahun 2000, bila pembahagian wang zakat fitrah dijalankan hanya kalangan penyokong parti mereka sahaja diberikan di masjid-masjid dengan tapisan yang dibuat oleh jawatan kuasa di peringkat parti kampong mereka terlebih dahulu.

Mungkin ramai yang telah lupa perisitwa yang telah lalu, tetapi mereka yang pernah mengalaminya pasti tidak lupa.

Orang miskin, Encik Ali, dari Lerek, Tepoh waktu itu berusia 40 an, berkata, selepas mendapati namanya dikeluarkan, dia menemui pegawai di jabatan agama bertanyakan perkara tersebut tetapi tidak dapat berbuat apa-apa.

Beliau berkata, beberapa penyokong parti yang menjadi kerajaan ketika itu yang berkemampuan dan sihat tubuh badan turut disenarikan sebagai penerima bantuan zakat fitrah itu.

Ali yang mempunyai lima anak, tiga darinya masih bersekolah ketika itu, menumpang tinggal di rumah dan tanah milik orang.

“Sudah lama saya menerima bantuan zakat fitrah setiap kali raya, sejak bernilai RM40 hingga sekarang RM100, tetapi kali ini saya dinafikan hak itu kerana bukan ahli parti berkenaan,” katanya ketika diwawancara oleh Berita Harian 14 Januari 2000 dan disiarkan dalam akhbar berkenaan pada 5 Januari 2000.

Encik Mohamad, 50 an, juga orang miskin dari kampong yang sama juga menerima nasib yang sama.

Beliau merayu kepada kerajaan negeri ketika itu, supaya tidak membahagikan zakat mengikut sokongan parti, tetapi berasaskan hak-hak kelayakan menerima menurut Islam.


Gerakan merealisasikan 2010 5 2 ke arah mengekalkan kejuaraan

Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan negeri memperuntukan RM663,000 untuk menyediakan bahan-bahan berbentuk digital iaitu cakera padat untuk disimpan ke dalam e-Book yang mengandungi semua soalan-soalan yang telah disemak oleh guru-guru Angkatan Kerja Rajin dan Mulia (Akram) di pejabat pelajaran negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Haji Ahmad Razif Abdul Rahman, berkata, setiap peperiksaan membabitkan kos antara RM100,000 hingga RM200,000.

“Untuk merealisasikan program ini kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM1.2 juta bagi membolehkan jabatan pelajaran melaksanakan pelbagai program intervensi menjelang peperiksaan,”



Beliau berkata demikian kepada pemberita di majlis pelancaran Program Kecemerlangan UPSR, PMR, SPM dan STPM 2012, Gerakan Merealisasikan 20 10 5 2 di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak hari ini (14 Ogos).

“Program gerakan merealisasikan 201052 merupakan antara usaha kerajaan ke arah mengekalkan kejuaraan tahun ke 12, pencapaian UPSR dimana peperiksaan penting itu hanya tinggal 28 hari lagi,” katanya.

Katanya, jabatan juga akan mengadakan Akademik 20 10 5 2 selama tiga hari dua malam untuk sasaran strait A dan pengedaran kain rentang untuk memberi motivasi dan kesedaran masyarakat agar mengambil bahagian untuk kecemerlangan pelajar yang akan mengambil peperiksaan.

Selain itu, program keterbilangan bersama pemimpin melibatkan semua Exco kerajaan negeri khusus untuk pelajar yang mendapat strait A dalam peperiksaan percubaan PMR, SPM dan STPM akan terbabit dalam program dua hari satu malam itu.

“Satu lagi program ‘gerakan kecemasan’ melibatkan ibu bapa dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang akan mengadakan solat hajat serentak dan juga khutbah Jumaat sebagai usaha terakhir untuk anak-anak kita yang akan menghadapi peperiksaan,” katanya.

Katanya, melihatkan komitmen padu yang ditunjukan jabatan, guru, ibu bapa, PIBG dan pelajar , yakin mampu mengekalkan kecemerlangan tahun ini.



MB agih hamper kepada pesakit

Oleh: Mastura Jamaluddin

Melalui pendekatan Puteri Prihatin untuk masyarakat, Puteri UMNO Bahagian Hulu Terengganu mengambil inisiatif untuk mengadakan lawatan ke Hospital Hulu Terengganu dan pengagihan hamper hari raya kepada pesakit dan juga jururawat-jururawat yang bertugas.



Program tahunan tersebut di ceriakan lagi dengan kehadiran Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said yang sudi melawat setiap wad dan berjumpa sendiri dengan pesakit.

Rata-rata wajah pesakit begitu ceria kerana dapat melihat sendiri wajah Menteri Besar yang digambarkan begitu prihatin kepada rakyat.

Menurut Ketua Puteri UMNO Bahagian Hulu Terengganu, Puan Zurina Abdul Rahman, projek itu merupakan sebuah program yang dilaksanakan Pergerakan Puteri UMNO Malaysia di peringkat bahagian seluruh negara melalui sukarelawan yang terdiri daripada ahli Pergerakan Puteri UMNO di bawah Program Puteri Prihatin.

Beliau berkata, melalui program itu para pesakit serta keluarga mereka tidak akan terasa di pinggirkan sempena Hari Raya yang akan tiba tidak lama lagi.



Turut hadir dalam program tersebut ialah YBM Dato’ Tengku Putera bin Tengku Awang,YB Haji Mohd Nor bin Othman,Ahli Parlimen Hulu Terengganu;YB Haji Mohd Zawawi bin Ismail,ADUN Kuala Berang;Ahli Lembaga Pelawat Hospital Hulu Terengganu,Ketua-ketua Jabatan serta sukarelawan Puteri daripada Parlimen Hulu Terengganu.




Kerajaan negeri cakna rakyat Terengganu dari dulu lagi

Teks dan gambar oleh Nurul Aziela Mohd Saberi



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, yang diiringi Pengarah APMT, Haji Roshali Taha, meluangkan masa menyampaikan dana raya kepada warga DUN Kijal di tiga tempat iaitu di Dewan Sivik Kijal seramai 1,179 penerima, di Dataran Pusat Daerah (PDM) Mengundi Seri Bandi (1370 penerima) dan di Sekolah Kebangsaan Padang Kubu (443 penerima).

Menteri Besar berkata dalam ucapannya di PDM Seri Bandi, pembahagian dana raya kepada rakyat Terengganu sudah menjadi satu kemestian kerajaan negeri untuk memberi bantuan tersebut kepada rakyat bagi meringankan beban di musim perayaan.
Hal ini, jelas membuktikan bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) yang menerajui negeri Terengganu sekarang begitu prihatin dan cakna terhadap pemasalahan rakyat.

Namun begitu katanya, masih ada segelintir rakyat yang tidak mahu bersyukur, malah masih ramai yang mempertikaikan pemberian kerajaan ini kepada rakyat.

“Sekiranya ada pihak yang tidak menerima dana ini disebabkan beberapa faktor, maka pelbagai isu dan fitnah akan dibangkitkan dan disebarkan dengan menghina pemerintahan kerajaan negeri sekarang,” katanya.
Beliau turut meminta rakyat Terengganu supaya bersyukur dengan pemberian yang telah diberikan selama ini dan tidak akan berpaling tadah ke mana-mana parti yang lain agar nikmat yang diperoleh sekarang akan berkekalan.

Menteri Besar turut berkesempatan dengan mencelah masanya pergi melawat Mini Zoo di Bukit Takal setelah menyampaikan dana raya di Seri Bandi untuk melihat perkembangan proses pembinaan taman rekreasi itu dan haiwan yang ditempatkan di situ.