Halaman

03 September 2012

Bina jalan baru, jalan sehala kurang kesesakan trafik bandar raya

Oleh: Aida Abd Rahman
Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) mengenal pasti langkah mewujudkan lebih banyak jalan sehala dan membina jalan baru daripada jalan kecil serta pintasan sedia ada dalam kadar segera menjadi alternatif utama yang dapat mengurangkan kesesakan di bandar ini.

Datuk Bandar, Dato’ Adzlan Mohd Dagang yang mengakui kesesakan di bandar raya itu kian ketara dan meningkat saban tahun khususnya pada musim perayaan dan bulan puasa baru-baru ini, berkata menerusi projek jangka sederhana, MBKT turut merancang melebarkan jalan sedia ada, selain mewujudkan jalan baru sebagai alternatif untuk memasuki dan keluar dari pusat bandar.

“Projek yang agak sederhana juga, kerajaan negeri dalam peringkat akhir menyiapkan jalan lingkaran sebagai alternatif mengelak orang ramai memasuki bandar untuk ke destinasi tertentu.

“Jalan berkenaan bermula dari Tok Adis-Chabang Tiga-Bukit Besar dan terus ke Jambatan Pulau Sekati . Ini semua projek peringkat jangka sederhana yang sedang berjalan ,” katanya di sidang media sempena Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri 2012, di batu Burok, semalam (2 September).

Sehubungan itu juga, projek membina jalan alternatif baru dalam bandar seperti jalan lencongan daripada Hotel Primula menghala ke belakang Hotel Grand Continental yang dilaksanakan Kerajaan Pusat menerusi Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (Ecer) juga diharap dapat disambungkan sehingga ke Seberang Takir.

“Kita berharap projek Pusat ini dapat disegerakan dan mampu mengeluarkan kesesakan trafik melalui satu lagi jalan alternatif yang baru untuk ke Kuala Terengganu Utara,” katanya.

Beliau berkata, MBKT juga sudah lama mengemukakan permohonan kepada Kerajaan Pusat bagi membina jalan bertingkat di beberapa jalan utama khususnya di persimpangan Bukit Besar, persimpangan Jalan Kamarudin dan persimpangan Batu Buruk bagi mengatasi kesesakan trafik.



Nasib pasangan buta Mek Long dan Hassan mendapat perhatian



Oleh: Mohammad Ishak

Nasib pasangan buta Mek Long Salim, 80,dan suaminya Hassan Awang, 70 dari Kampung La,Hulu Besut,mendapat perhatian apabila dikunjungi skuad dari Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Besut untuk mengadakan gotong royong membersih rumah pasangan itu hari ini.

Program Kebajikan Rakyat 1Malaysia (Karisma) bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung La, itu turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut,Nawi Mohamad.

Seramai 15 kakitangan JKM Besut bersama jawatankuasa JKKK Kampung La dan penduduk setempat mengambil daya usaha mengadakan gotong royong membersih kawasan rumah dan dalaman.

Rumah pasangan itu yang dibina menerusi konsep gotong royong di bawah Program Rakyat Termiskin oleh agensi kerajaan termasuk Pejabat Daerah Besut dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) didiami oleh pasngan berkenaaan sejak 10 tahun lalu.

Kehadiran kakitangan JKM,JKKK dan ADUN Hulu Besut,memberi gambaran pihak terbabit begitu prihatin terhadap rakyat terutama golongan miskin,kurang upaya dan kurang penglihatan.

Menurut ADUN Hulu Besut,Nawi Mohamad, pasangan itu sentiasa mendapat perhatian dan pembelaan masyarakat setempat termasuk JKM yang menyalurkan pelbagai bantuan kepada mereka.

"Bagaimanapun ada pihak cuba mengambil kesempatan daripada kehidupan pasangan itu apabila mereka atas nama parti cuba mendekati pasanganitu  baru-baru ini," katanya.

Nawi berkata, kehadiran skuad JKM bersama JKKK kampung itu sekali lagi membuktikan mereka amat cakna dan prihatin kepada pasangan itu yang turut dibantu dengan pelbagai bantuan termasuk makanan,pakaian,tikar,kelambu dan peralatan lain.

Mesyuarat persiapan ADC Peringkat Kebangsaan

Oleh; Esah Abdullah



Kerajaan negeri memberi komitmen penuh terhadap penyertaan Kampung Bukit Wan, Batu Rakit yang terpilih menyertai pertandingan Anugerah Desa Cemerlang (ADC) Peringkat Kebangsaan.

Persiapan menjelang ketibaan barisan panel penilai ke negeri ini pada Oktober depan ditangani secara bersama oleh pelbagai agensi kerajaan bagi memastikan setiap aspek yang pertandingkan dipenuhi dengan jayanya.

Mesyuarat jawatankuasa bagi membincangkan persiapan menjelang hari penghakiman Pertandingan Anugerah Desa Cemerlang (ADC) telah diadakan di Dewan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Bukit Wan minggu lalu.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan (Khidmat Pengurusan) Haji Rozali Salleh dihadiri wakil-wakil jabatan termasuk pejabat Daerah Kuala Terengganu, Unit Pengurusan Maklumat Negeri (UPMN) dan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).

Turut hadir, Unit Komunikasi Negeri (Ukom), Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Risda, Jabatan Kesihatan, Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Perikanan dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) selaku urusetia.

Kampung Bukit Wan diumum sebagai johan ADC di peringkat negeri pada majlis yang diadakan di Wisma Darul Iman Julai lalu sekaligus mewakili negeri ke pertandingan Peringkat Kebangsaan.




Bertuah jadi anak Terengganu

Oleh; Esah Abdullah

Saya berjanji akan belajar bersungguh-sungguh dan dapat capai kepujian dalam peperiksaan nanti, kata Wan Nurulauma Wan Aziz,20 dari Kampung Gong Kepas, Besut yang akan melanjutkan pengajian ke Universiti Malaysia Sarawak.

Beliau antara 3,406 pelajar peringkat Ijazah menerima bantuan persediaan Yayasan Terengganu daripada Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud yang diadakan di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri Gong Badak baru-baru ini.

Anak pasangan Wan Aziz Wan Mahmud, 49, Zaini Mat Kasim, 39 itu merupakan anak kedua daripada tujuh beradik dan enam daripadanya masih dibangku sekolah.

“Saya sangat bersyukur terima bantuan ini yang dapat meringankan beban keluarga kerana ayah hanya bekerja sebagai tukang kebun dan perlu menyara adik yang ramai,” katanya.

Kegembiraan itu turut dikongsi anak pesara Jabatan Perhutanan, Sharifah Aisahnazirah Syed Husain,22, dari Kampung Tok Mucong, Wakaf Tapai yang menyambung pengajian ke Universiti Malaysia Sabah.

Anak bongsu kepada pasangan Syed Husain Syed Omar, 64, dan Puan Shahirul Bariah Embong, 55, itu mengambil kursus Ijazah Teknologi dan Industri Serat Kayu setelah beroleh Diploma di Universiti Institut Teknologi Mara (UiTM) Pahang.

“Saya rasa bertuah kerana dilahirkan di bumi bertuah ini, kerana banyak bantuan pendidikan yang disediakan oleh kerajaan dan ramai kawan saya yang berada di negeri lain cemburu pada saya,” katanya.

Ucapan terima kasih juga datang daripada dua sahabat iaitu Loo Chze Koon dan Miki Ong dari Kampung Ladang Nisan Empat Kuala Terengganu.

Loo Chze Koon mengambil kos Agroteknologi (Teknologi Lepas Tuai) di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menerima RM1,000 daripada To’ Puan Seri Norliza dan jumlah ini sangat bermakna kepadanya untuk belanja persiapan menjadi warga UMT.

Manakala Miki Ong menerima RM1,300 mengambil kursus Ijzah di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) dalam bidang Ekonomi Antarabangsa.

“Saya bangga jadi anak Terengganu dan berharap dapat mencurah bakti di negeri ini bila habis belajar nanti,” katanya.





MAJLIS AIDILFITRI DAN PENYERAHAN HAK MILIK TANAH SERTA SUMBANGAN TABUNG AMANAH RAKYAT DI SERI BANDI KEMAMAN

Gambar-gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Menteri Besar dan isteri hadir pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Seri Bandi, Kemaman.

Penerima geran hak milik tanah gembira dan berterimakasih kepada kerajaan Barisan Nasional.

Penduduk Seri Bandi yang hadir pada sambutan Aidilfitri.

Penerima sumbangan Tabung Amanah Rakyat.

Sokongan padu penduduk Seri Bandi terhadap kepimpinan Dato' Seri Haji Ahmad Said dan kerajaan Barisan Nasional.

Seorang penerima sumbangan Tabung Amanah Rakyat.

 

ZOO BUKIT TAKAL KEMAMAN TERUS DIKUNJUNGI RAMAI

Gambar-gambar oleh ZULKIPLI PUTRA
 
Zoo Bukit Takal Kemaman menjadi destinasi utama untuk dikunjungi pelancong. 

Orang ramai menggunakan kemudahan yang disediakan di dalam kawasan Zoo Bukit Takal Kemaman.

Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said berkesempatan melihat kerja-kerja membuat sangkar yang bakal menempatkan ` Orang Utan '.

Singa turut menjadi tumpuan pengunjung.

SEKITAR SAMBUTAN AIDILFITRI DI EPIC KEMAMAN

Gambar-gambar oleh ZULKIPLI PUTRA
Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said membancuh teh tarik untuk tetamu yang hadir pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Epic di perkarangan Epic Berhad, Kemaman.

To' Puan Seri Hajah Norliza Mahmud bersalaman dengan pekerja Epic Berhad sebaik tiba untuk sambutan rumah terbuka Aidilfitiri di sana.

Menteri Besar dan isteri serta SUK Terengganu bergambar dengan urusetia sambutan Aidilfitri Epic Berhad.

Ribuan tetamu hadir menjayakan rumah terbuka Epic Berhad di Kemaman.

Menteri Besar sempat berbual mesra dengan pelumba basikal profesional Terengganu (pasukan TSG), Anuar Manan dan rakan-rakan yang turut hadir pada rumah terbuka berkenaan.

Orang ramai berkesempatan menikmati juadah yang disediakan di gerai-gerai yang disediakan.


MB di majlis Sambutan Aidilfitri di Pesama Timber Corporation Sdn Bhd

Gambar-gambar oleh Zulkipli Putra
Dato' Seri Haji Ahmad Said menyendok air batu cendol untuk diagihkan kepada orang ramai pada majlis Aidilfitri Pesama Timber Corporation Sdn Bhd, Kemaman.

Menteri Besar dan isteri turut menyampaikan duit raya kepada murid sekolah.

Murid dari beberapa sekolah seluruh Chukai, Kemaman gembira memperolehi duit raya.



02 September 2012

Dana bantu pesakit buah pinggang

Oleh; Esah Abdullah

Terima kasih kepada kerajaan yang menghulur bantuan kewangan dan ini dapat meringankan beban kami sekeluarga, kata Siti Amirah Ghazali, 21 anak kepada pesakit buah pinggang Encik Ghazali Abdullah.

Bantuan di bawah Dana Sosial Perubatan berjumlah RM18,127 telah disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pendidikan Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Takir, Dato’ Haji Ahmad Razif Abdul Rahman di Kampung Teluk Ketapang, Seberang Takir semalam.





Kos berkenaan untuk menampung pembelian pelbagai keperluan seperti lampin pakai buang, ubat-ubatan dan pengangkutan untuk membawa pesakit yang akan mengadakan rawatan hemodialisis sebanyak tiga kali seminggu.

Dato’ Ahmad Razif, berkata, kerajaan negeri akan cuba membantu untuk meringan beban keluarga berkenaan yang terpaksa membelanjakan kira-kira RM3,000 sebulan.



Ghazali 55, penerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM200 itu dikesan mengidap penyakit buah pinggang sejak 2007 dan penyakitnya semakin serius selepas menjalani pembedahan membuang darah beku di kepala pada April lalu yang memyebabkan koma selama dua bulan.

Ghazali yang hanya mampu berbaring telah berpisah dengan isterinya dan kini dijaga sepenuhnya oleh dua anak perempuannya iaitu Siti Amirah 21 dan Siti Puspawani 18, di rumah yang disewa RM150 sebulan.







Jamuan Raya MBKT dibanjiri 10,000 warga kota

Oleh: Aida Abd Rahman
Sejajar dengan piagam Majlis Bandar Raya Kuala Terengganu (MBKT) yang sentiasa dekat dan menjaga hubungan dengan pelanggan , sambutan Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri 2012 MBKT berjaya mencapai matlamat untuk menarik kehadiran lebih 10,000 penduduk tempatan khususnya warga bandar raya.

Majlis diadakan secara terbuka di Perkarangan Kelab Eksklusif MBKT, Pantai Batu Burok, Kuala Terengganu bermula sejak jam 10 pagi berakhir empat jam kemudian menyediakan pelbagai juadah pembuka selera seperti nasi minyak, nasi dagang, keropok, cendol, kuih-muih dan minuman pelbagai perisa.

Datuk Bandar MBKT, Dato’ Adzlan Mohd Dagang, berkata susulan sambutan luar biasa pengunjung di majlis itu pada tahun lalu, pihaknya meningkatkan peruntukan seratus peratus sehingga mencecah RM150,000 bagi memastikan lebih ramai warga bandar raya dapat menyertai acara berkenaan tahun ini.

“Orang ramai khususnya warga bandar raya kita jemput ke majlis hari raya ini dengan hebahan menerusi pelbagai media cetak dan elektronik, selain kain rentang yang digantung di kawasan strategik sekitar Kuala Terengganu.

“Alhamdulillah, kita berjaya menyampaikan maklumat mengenai majlis itu sekali gus hasrat mendekatkan warga bandar raya dengan MBKT dalam program seumpama ini yang hanya berpeluang dilaksanakan setahun sekali akhirnya tercapai,” katanya ketika ditemui di Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri 2012 MBKT, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah, beberapa Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri dan pemimpin politik Umno mahu pun Pas.

Dato’ Adzlan berkata, MBKT menganjurkan acara itu secara terbuka di luar bangunan MBKT sejak tahun lalu dan sambutan yang meriah sebelum ini menyebabkan kita mengambil inisiatif menggandakan peruntukan membiayai majlis yang sama pada tahun ini.

“Sehingga jam 12 tengah hari, sebahagian juadah sudah dihabiskan tetamu yang terdiri daripada pelbagai lapisan usia, bangsa dan juga masyarakat termasuk kaum India dan juga Tionghua.

“Malah, MBKT turut memastikan kesemua tetamu dapat menikmati hidangan dengan menyediakan makanan yang dimasak segera oleh petugas yang sentiasa bersiap-sedia sehingga selesai majlis berkenaan,” katanya.