Halaman

03 September 2012

Bina jalan baru, jalan sehala kurang kesesakan trafik bandar raya

Oleh: Aida Abd Rahman
Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) mengenal pasti langkah mewujudkan lebih banyak jalan sehala dan membina jalan baru daripada jalan kecil serta pintasan sedia ada dalam kadar segera menjadi alternatif utama yang dapat mengurangkan kesesakan di bandar ini.

Datuk Bandar, Dato’ Adzlan Mohd Dagang yang mengakui kesesakan di bandar raya itu kian ketara dan meningkat saban tahun khususnya pada musim perayaan dan bulan puasa baru-baru ini, berkata menerusi projek jangka sederhana, MBKT turut merancang melebarkan jalan sedia ada, selain mewujudkan jalan baru sebagai alternatif untuk memasuki dan keluar dari pusat bandar.

“Projek yang agak sederhana juga, kerajaan negeri dalam peringkat akhir menyiapkan jalan lingkaran sebagai alternatif mengelak orang ramai memasuki bandar untuk ke destinasi tertentu.

“Jalan berkenaan bermula dari Tok Adis-Chabang Tiga-Bukit Besar dan terus ke Jambatan Pulau Sekati . Ini semua projek peringkat jangka sederhana yang sedang berjalan ,” katanya di sidang media sempena Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri 2012, di batu Burok, semalam (2 September).

Sehubungan itu juga, projek membina jalan alternatif baru dalam bandar seperti jalan lencongan daripada Hotel Primula menghala ke belakang Hotel Grand Continental yang dilaksanakan Kerajaan Pusat menerusi Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (Ecer) juga diharap dapat disambungkan sehingga ke Seberang Takir.

“Kita berharap projek Pusat ini dapat disegerakan dan mampu mengeluarkan kesesakan trafik melalui satu lagi jalan alternatif yang baru untuk ke Kuala Terengganu Utara,” katanya.

Beliau berkata, MBKT juga sudah lama mengemukakan permohonan kepada Kerajaan Pusat bagi membina jalan bertingkat di beberapa jalan utama khususnya di persimpangan Bukit Besar, persimpangan Jalan Kamarudin dan persimpangan Batu Buruk bagi mengatasi kesesakan trafik.