Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA
Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA
Penduduk Kampung Kubang Parit lega apabila kemudahan Klinik 1Malaysia akhirnya dibuka di kampung mereka. Terima kasih kerajaan Barisan Nasional.
Kemudahan Klinik 1Malaysia (K1M) KP Perdana, Kubang Parit yang mula beroperasi semalam (3 September) ibarat `bulan jatuh ke riba’ buat penduduk di Kampung Kubang Parit, Wakaf Beruas, Merbau Patah dan Durian Burung serta kampung sekitarnya.
Penduduk bersyukur dengan wujudnya kemudahan perubatan berhampiran tempat tinggal mereka itu bukan sahaja memberi keselesaan dan kemudahan, malah turut menjimatkan masa dan tenaga daripada bersesak di mana-mana pusat kesihatan dan hospital bagi mendapatkan perkhidmatan perubatan bagi kes-kes ringan.
Lebih 500 penduduk Kampung Kubang Parit dan sekitarnya menanfaatkan sepenuhnya kemudahan di Klinik 1Malaysia.
Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung Kubang Parit, Encik Ruslee Bidi, berkata kemudahan perubatan yang disediakan di kampungnya itu benar-benar memberi manfaat dan dapat membantu penduduk kampung yang memerlukan.
“Mereka yang berdepan dengan pelbagai penyakit ringan tidak lagi perlu ke bandar dan membuang masa ke mana-mana pusat kesihatan selepas ini, sebaliknya Klinik 1Malaysia yang disediakan kerajaan ini dapat mengatasi masalah itu.
“Kemudahan ini harus dimanfaatkan sepenuhnya oleh kira-kira 500 penduduk kampung ini serta penduduk sekitar ,” katanya.
Seorang penduduk, Puan Anisa Awang, 29, berkata K1M memudahkan masyarakat mendapatkan perkhidmatan perubatan selain caj yang dikenakan amat murah dengan kadar hanya RM1 dan mampu dibayar oleh sesiapa sahaja.
“Kerajaan menyediakan kemudahan ini bagi meringankan beban rakyat yang memerlukan, sekali gus dapat menampung kekurangan klinik kesihatan di kawasan ini.
“Selepas ini pastinya kita tidak lagi perlu menunggu lama dan terpaksa pergi lebih jauh untuk mendapatkan rawatan bagi penyakit seperti demam, batuk dan selsema. Malah prosedur mencuci luka dan membuka jahitan pun disediakan di K1M ini,” katanya.