Halaman

02 September 2012

Mohd Saufi muncul juara




Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Mohd Saufi Mat Senan muncul juara acara lepas beramai-ramai elit lelaki di Kejohanan Fiesta Jemputan Terengganu 2012 (TICF 2012) apabila menewaskan jaguh pecut tersohor, Anuar Manan di Trek Palma Serdang sejauh 80 kilometer semalam.

TICF 2012 merupakan acara pra-Kejohanan Basikal Bukit Kebangsaan 2012 yang akan diadakan di Trek Palma Serdang hari ini (esok) dan tonggak TSG tersebut mengambil keputusan untuk keluar memecut lebih awal tatkala perlumbaan tinggal cuma 500 meter kerana mengetahui Anuar jelas lebih bertenaga pada henjutan ke garisan penamat.



Mohd. Saufi yang dianggap lebih perkasa pada laluan berbukit merakam masa 1 jam 56 minit 54 saat meninggalkan Anuar yang keciciran dua saat di belakang untuk merangkul hadiah kemenangan RM1,000.

Anuar pula kemudian mudah mengetepikan cabaran pelumba TSG, Yusrizal Usoff manakala Mohd. Nor Ridzuan Zainal yang mewakili pasukan Malaysia pula menamatkan perlumbaan hampir 20 saat di belakang bersama seorang lagi tonggak TSG, Mohd. Saiful Anuar Aziz untuk menduduki tempat ke-4 dan ke-5 dengan catatan 1:57:19s.

"Saya gembira kerana mampu tewaskan Anuar. Saya terpaksa bertindak cepat kerana tahu Anuar lebih hebat dalam henjutan jarak dekat. Jadi saya keluar lebih awal dan saya berjaya kekalkan henjutan sehingga ke garisan penamat," kata Mohd. Saufi.

Kategori elit wanita sejauh 40km pula menyaksikan tercetusnya kontroversi apabila naib juara, Nurul Shuhada Zainal dari Terengganu hampir dibatalkan kemenangannya apabila dikatakan menghimpit pemenang tempat pertama, Masziyaton Mohd Radzi dari Kedah ketika memecut ke garisan penamat.