Halaman

04 September 2012

JaHEAT kesan 11 masjid tidak diiktiraf

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan negeri melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JaHEAT) mengesan 11 buah masjid yang tidak diiktiraf kerajaan beroperasi di Terengganu sehingga mendorong berlaku kejadian solat berasingan dalam satu kariah.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah, berkata berdasarkan rekod lapan masjid terletak di Besut, dua di Dungun dan satu di Marang.

Katanya, jumlah masjid tidak diiktiraf kerajaan semakin menurun berbanding 30 masjid ketika dikesan pada awal 1980 lalu.

"JaHEAT dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) telah membuat pemantauan, termasuk memanggil mereka yang terlibat tetapi kurang mendapat sambutan kerana masih berpegang kuat kepada pendirian masing-masing.

"Pihak Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) turut menubuhkan jawatankuasa kecil bagi memperhalusi perkara ini bagi menangani masalah ini secara serius," katanya

Dato’ Haji Mazlan turut memberitahu, JaHEAT akan mengambil tindakan tegas terhadap khatib tidak bertauliah yang membaca kutbah mengandungi unsur hasutan dan berbaur negatif.

“Langkah ini penting bagi mengelak dan mengawasi kutbah yang dibaca kepada orang ramai itu terpelihara daripada unsure tidak baik.

“Pihak kami bimbang jika khatib tidak bertauliah teruskan dibenarkan membaca kutbah, ia akan mendatangkan kesan negatif kepada masyarakat, justeru JaHEAT akan membantu siasatan dan pemantauan di masjid,” katanya.