Terengganu bakal menggunakan kepakaran jurulatih yang diimport dari China untuk melatih atlet negeri bagi acara menembak, renang, terjun, wushu dan gimnastik pada Sukan Malaysia (Sukma) di Kuala Lumpur tahun depan dan Perlis 2014.
Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) Terengganu, Haji Zainal Abidin Hussin, berkata pihaknya kini dalam proses mengenal pasti jurulatih dari negara berkenaan dalam usaha menjadikan atlet Terengganu sebagai yang terbaik di negara ini.
"Kita sedang mendapatkan maklumat jurulatih yang berpotensi sebelum berlepas ke China untuk melakukan rundingan dan melihat sendiri sesi latihan yang mereka kendalikan di sana.
"Berdasarkan pencapaian jurulatih dari China di Olimpik London baru-baru ini membuka mata seluruh dunia terhadap keberkesanan teknik latihan serta jurulatih mereka menyebabkan kita berminat menggunakan kepakaran mereka," katanya ketika ditemui pemberita pada majlis sambutan Aidilfitri MSN Terengganu di Gong Badak, Kuala Terengganu, semalam (6 September).
Beliau berkata pihaknya juga dalam perancangan mencari jurulatih dari Thailand bagi acara sukan Muay Thai yang akan diperkenalkan buat pertama kali pada Sukma Kuala Lumpur nanti.
Haji Zainal Abidin berkata Terengganu turut akan mengambil bahagian dalam satu lagi acara baru di Sukma Kuala Lumpur iaitu 'wood ball', sejenis sukan padang yang mirip kepada acara kriket dan sedang mengenal pasti atlet berbakat bagi acara tersebut.
Beliau juga yakin dengan kemampuan atlet Terengganu dalam sukan akuatik terutamanya bagi acara terjun.
"Atlet kita mempunyai kelebihan kerana Terengganu yang dikelilingi dengan keadaan semula jadi yang banyak iaitu sungai dan pantai malah mereka mempunyai sifat keberanian yang tinggi.
"Kita juga telah mendapat maklum balas yang positif daripada seorang aktivis sukan yang sanggup bekerjasama menyediakan kemudahan dalam usaha melahirkan atlet akuatik setanding dengan penerjun negara, Pandelela Rinong," katanya.
Dalam pada itu, Sukma ke-16 di Kuala Lumpur bakal berlangsung dari 28 Jun hingga 7 Julai 2013 yang mempertaruhkan 19 acara sukan.