Halaman

02 September 2012

Rumah Terbuka Aidilfitri Dun Wakaf Mempelam dimeriahkan 7,000 tetamu

Oleh: Aida Abd Rahman

Lebih 7,000 tetamu di kalangan penduduk sekitar Kuala Terengganu khususnya dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam membanjiri Rumah Terbuka anjuran DUN berkenaan, di Jalan Kelantan, Kampung Bukit Kubang Jambu, semalam (1 September).



Majlis yang dikepalai Pegawai Pembangunan DUN, Haji Wan Mahyuddin Wan Ngah bermula sejak jam 10.30 pagi dan berakhir empat jam kemudian, dikunjungi pelbagai lapisan usia dan latar belakang penduduk, selain turut dimeriahkan dengan kehadiran pemimpin setempat.

Turut hadir, Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu, Dato’ Wan Ahmad Farid Wan Salleh; Naib Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu, Dato’ Wan Hisham Wan Salleh dan Ketua Pemuda Umno Bahagian Kuala Terengganu, Encik Badrul Hisham Zaki.

Hadir sama, Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Kuala Terengganu, Pengerusi jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung, AJK Pemuda, AJK Penyelrasa Wanita.

Haji Wan Mahyuddin mengambl kesempatan di majlis itu untuk mengucapkan salam Aidilfitri dan memohon maaf mewakili dirinya, keluarga serta kakitangan Pejabat Pembangunan DUN atas segala kesalahan sepanjang menerajui kepimpinan di DUN berkenaan.



Beliau turut berharap, majlis itu menjadi medan bagi merapatkan silaturahim dan menjernihkan segala kekeruhan yang berlaku selama ini.

“Pada masa yang sama, pada hari baik dan bulan yang baik ini, saya berharap orang ramai tanpa mengira latar belakang dan kefahaman politik yang sudi hadir di majlis ini sama-sama memuhasabah diri dan menilai semula segala jasa dan pengorbanan para pemimpin yang menerajui kerajaan hari ini.

“Dalam suasana kita mengecap nikmat dan rezeki yang diperolehi hari ini, kita harus bersyukur ke hadrat Ilahi kerana mengurniakan kerajaan yang mampu menunaikan hasrat dan mendengar suara rakyat yang memerlukan. Oleh itu, pada pilihan raya umum nanti marilah kita membuktikan sokongan dan menzahirkan terima kasih dengan memilih kerajaan Barisan Nasional,” katanya.

Selain itu, tetamu yang membanjiri majlis itu berpuas hati dan ceria kerana berpeluang menikmati pelbagai juadah menyelerakan seperti nasi minyak, nasi dagang, mee goreng dan air cendol pada acara yang diadakan setahun sekali itu.