Halaman

04 September 2012

Pusat pemulihan bantu pesakit kronik

Oleh; Esah Abdullah

Sebuah pusat pemulihan khusus untuk pesakit kornik akan ditempatkan di bangunan Umno kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir dan dijangka dapat beroperasi sebelum akhir tahun ini.

Ahli DUN Seberang Takir, Dato’ Haji Ahmad Razif Abdul Rahman (gambar) berkata, pusat itu akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan peralatan untuk membantu orang-orang lanjut usia yang menghidap pesakit kronik mendapatkan rawatan.

Katanya sebagai permulaan, pusat tersebut akan menyediakan peralatan bagi rawatan fisoterapi dan hemodialisis bagi memudahkan penduduk setempat mendapat rawatan susulan dan tidak perlu lagi ke hospital.

Katanya, pusat tersebut juga akan menempatkan seorang doktor pakar dan dibantu dengan sukarelawan bagi membantu pesakit menerima rawaran.

``Pada masa ini pusat berkenaan masih menunggu peralatan untuk ditempatkan di situ dan akan beroperasi sebaikan sahaja peralatan diterima dalam tempoh dua atau tiga bulan lagi,’’ katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Dana Sosial Perubatan berjumlah RM18,127 kepada pesakit buah pinggang Ghazali Abdullah di Kampung Teluk Ketapang, Seberang Takir.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri berkata, pusat berkenaan dijangka dapat dimanfaatkan kira-kira 30,000 penduduk di kawasan DUN Seberang Takir.

``Hasil pemerhatian saya ramai yang mengidap pelbagai penyakit kronik sekarang ini seperti buah pinggang, darah tinggi, kencing manis dan strok,’’ katanya.

Selain itu pihaknya akan mengadakan kerjasama dengan beberapa agensi kerajaan dan universiti yang berada dalam DUN seperti Jabatan Pertahanan Awam (JPA3), Rejimen Askar Melayu Diraya (RAMD) dan Universiti Sultan Mizan Zainal Abidin (UniSZA) turut membantu melancarkan operasi di pusat berkenaan.