Halaman

05 September 2012

MBKT proses akhir pastikan Taman Panorama beroperasi sebelum 2013

Oleh: Aida Abd Rahman
Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) kini dalam proses penilaian akhir untuk melantik syarikat pengendali Taman Panorama , Bukit Pak Apil bagi memastikan lokasi pelancongan baru Terengganu itu mampu beroperasi sebelum 2013.

Datuk Bandar MBKT, Dato’ Adzlan Mohd Dagang, berkata pihaknya sedang meneliti secara terperinci sebelum menentukan mana-mana syarikat yang layak daripada tiga syarikat yang terdapat dalam senarai akhir permohonan tender berkenaan .

“MBKT akan melihat kemampuan syarikat berkenaan, jika hanya mampu urus kafe atau restoran sahaja, kita akan menguruskan kawasan lain keseluruhan bukit itu.

“Untuk jangka panjang, jika syarikat itu berkeupayaan, kita akan menyerahkan pengurusan keseluruhan lokasi yang dilengkapi kemudahan dan prasarana moden termasuk pusat rekreasi, laluan pejalan kaki, pondok rehat, menara tinjau serta taman orkid berkenaan kepada syarikat terbabit,” katanya ketika ditemui selepas Jamuan Hari Raya MBKT, di Batu Burok, baru-baru ini.

Menurut Dato’ Adzlan, restoran dikenali sebagai panorama kafe mampu menampung 200 pengunjung pada satu masa dibina bagi menarik minat pelancong tempatan dan luar negara bertandang ke taman itu.

Selain itu, katanya pembangunan fasa pertama taman yang membabitkan peruntukan RM7.5 juta dilaksanakan Kementerian Pelancongan dan Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan.

“Kita yakin pengunjung pasti teruja apabila berada di bukit berkenaan kerana hampir keseluruhan kawasan Bandar Raya Kuala Terengganu boleh dilihat melalui menara tinjau di taman itu,” katanya.

“Selain pusat pelancongan lain seperti seperti Pantai Batu Buruk, Pantai Chendering, Taman Tamadun Islam, Pulau Warisan, Pasar Besar Kedai Payang dan Pantai Batu Burok , kewujudan Taman Panorama bakal menjadi satu lagi tarikan pengunjung ke sini,” katanya.