Halaman

02 September 2012

YIT pelawa orang ramai tubuh kelas agama

Oleh: Suriati Ali

Yayasan Islam Terengganu (YIT) mempelawa orang ramai menubuhkan Kelas Bimbingan Agama Belia di setiap kampung.

Pengarah YIT, Md Kamaru Al- Amin Ismail, berkata langkah itu sangat wajar kerana hanya 59 kelas bimbingan seupama itu dicatatkan di seluruh Terengganu.

“Ia perlu ditambah bagi memberi peluang kepada belia mendalami ilmu agama secara lebih mendalam terutama berkaitan bacaan al-Quran,” katanya.

Katanya, kelas-kelas agama sebegini mampu membimbing golongan belia membina hala tuju yang betul kerana banyak dapat dipelajari, malah ia sememangnya dituntut agama Islam.

“Diharapkan dengan tertubuhnya kelas agama itu di kampung-kampung, sekurang-kurangnya ramai belia mampu membaca al-Quran dengan betul dan lebih tepat.

“Kita bersedia membantu jika ada mana-mana pertubuhan dan Badan Bukan Kerajaan ingin berbuat demikian,” katanya.

Haji Md Kamaru Al-Amin turut memberitahu, permohonan menjadi guru khidmat masyarakat sentiasa mendapat sambutan.

Menurutnya, dianggarkan 200 permohonan yang diterima pihaknya setiap tahun bagi menggantikan guru bersara dan permohonan untuk menjadi guru baru di kampung.

“YIT mengenakan syarat yang agak ketat untuk seseorang itu memohon sebagai guru khidmat masyarakat, termasuk perlu menghadiri kursus, mendapat sokongan Pengerusi Jawatan Kuasa Keselamatan & Kemajuan Kampung (JKKK) dan wakil rakyat kawasan,” katanya.