Halaman

08 September 2012

Terengganu tidak tandus pelumba pelapis

Oleh: Aida Abd Rahman

Terengganu tidak ketandusan atlet pelapis sukan berbasikal berikutan seramai 60 remaja bawah 14 tahun sedang giat menjalani latihan menerusi program pembangunan atlet di bawah Persatuan Lumba Basikal Terengganu (PLBT).

PLBT berhasrat mendedahkan pelumba muda itu dalam pelbagai kejohanan di peringkat kebangsaan termasuk Sukan Malaysia (Sukma) bermula 2016 atau 2017.


Jurulatih pasukan berbasikal Terengganu, Syed Mohd Hussaini Syed Mazlan, berkata mereka merupakan atlet yang berbakat dan berpotensi menjadi atlet berjaya sama ada di peringkat negeri mahupun antarabangsa pada masa depan.

"Mereka kini diletakkan di bawah program pembangunan atlet dan kita akan asuh atlet-atlet ini supaya mereka boleh mencapai tahap tertinggi,"katanya.
Menurut Syed Mohd Hussaini program pembangunan atlet itu ditaja beberapa syarikat tempatan dan syarikat menjual basikal dari Singapura.

"Syarikat berkenaan menaja barang-barang peralatan basikal termasuk jersi untuk atlet itu berlumba," katanya.

Selain itu, PLBT juga memberi tumpuan kepada atlet berbasikal wanita dan pencarian pelumba wanita itu akan dibuat dari semasa ke semasa.