Halaman

02 September 2012

Dana bantu pesakit buah pinggang

Oleh; Esah Abdullah

Terima kasih kepada kerajaan yang menghulur bantuan kewangan dan ini dapat meringankan beban kami sekeluarga, kata Siti Amirah Ghazali, 21 anak kepada pesakit buah pinggang Encik Ghazali Abdullah.

Bantuan di bawah Dana Sosial Perubatan berjumlah RM18,127 telah disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pendidikan Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Takir, Dato’ Haji Ahmad Razif Abdul Rahman di Kampung Teluk Ketapang, Seberang Takir semalam.





Kos berkenaan untuk menampung pembelian pelbagai keperluan seperti lampin pakai buang, ubat-ubatan dan pengangkutan untuk membawa pesakit yang akan mengadakan rawatan hemodialisis sebanyak tiga kali seminggu.

Dato’ Ahmad Razif, berkata, kerajaan negeri akan cuba membantu untuk meringan beban keluarga berkenaan yang terpaksa membelanjakan kira-kira RM3,000 sebulan.



Ghazali 55, penerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM200 itu dikesan mengidap penyakit buah pinggang sejak 2007 dan penyakitnya semakin serius selepas menjalani pembedahan membuang darah beku di kepala pada April lalu yang memyebabkan koma selama dua bulan.

Ghazali yang hanya mampu berbaring telah berpisah dengan isterinya dan kini dijaga sepenuhnya oleh dua anak perempuannya iaitu Siti Amirah 21 dan Siti Puspawani 18, di rumah yang disewa RM150 sebulan.