Halaman

08 September 2012

TH wujud talian ibadat

Oleh: Esah Abdullah
Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA


Tabung Haji (TH) telah mewujudkan talian khas dikenali sebagai Talian Ibadat (TAIB) yang boleh dihubungi oleh para jemaah untuk bertanya hal ehwal ibadat haji semasa berada di Tanah Suci Mekah mulai tahun ini.

Pengurus Besar Kanan Pengurusan Hartanah dan Pentadbiran TH, Haji Abdul Halim Md Jamil (gambar kiri) berkata, selain itu e-book TH juga telah dilancarkan pada awal tahun ini.

“E-book ini membolehkan bakal-bakal haji mendapatkan bahan penerbitan ibadat haji dengan lebih jimat, cepat, praktikal dan mudah diakses walau di mana saja mereka berada,”.

Beliau berkata demikian di majlis perasmian Kursus Perdana Haji Peringkat Negeri Terengganu Musim Haji 1433H/2012M di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri Gong Badak petang semalam.

Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said telah merasmikan majlis berkenaan. Turut hadir Setiausaha Kerajaan, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Haji Khazan Che Mat; Mufti Terengganu, Dato’ Dr, Alias Abdullah dan Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu Dato’ Haji Rozali Salleh.

Kursus Perdana Haji peringkat negeri Terengganu di Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Terengganu.

Katanya, TH telah dapat mengekalkan pengiktirafan MS SO 9001;2008 Perkhidmatan haji tahun ini yang merujuk kepada pengurusan haji di tanah air dan Tanah Suci serta sentiasa berusaha mengekalkan dan meningkatkan nilai tambah dalam pengurusan haji dari semasa kesemasa.

Katanya, selaras dengan visi TH iaitu ‘tunggak kejayaan ekonomi ummah, pengurusan haji terbilang’ pelbagai kursus diadakan seperti kursus asas haji, kursus insentif haji dan kursus perdana haji.

“Kita juga menganjurkan kursus khas haji untuk warga emas dan juga kepada bakal haji yang terpilih di saat akhir,” katanya.

Haji Abdul Halim turut berpesan kepada semua jemaah agar mematuhi segala peraturan dan arahan pentadbiran hal ehwal haji yang dikeluarkan oleh petugas TH dan pihak berkuasa Arab Saudi.

“Antaranya syarat ketat yang dikenakan ialah tidak membenarkan jemaah menubuhkan kumpulan untuk berhimpun dengan tujuan menjalankan upacara agama yang taksub terhadap aliran tertentu seperti berzikir dan berdoa di Masjdil Haram dan Masjid Nabi,” katanya.