Halaman

06 September 2012

TCS, bekas TCS bergerak seirama mantapkan jentera kerajaan

Oleh: Aida Abd Rahman
GAMBAR OLEH ZULKIPLI PUTRA

Menteri Besar bermesra dengan TCS dan juga bekas TCS di majlis Hari Keluarga dan Majlis Hari Raya Persatuan Pegawai-Pegawai Tadbir Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said meminta semua pegawai dan bekas Pegawai Tadbir Negeri Terengganu (TCS) supaya berganding bahu, bergerak sederap dan seirama antara barisan kepimpinan pentadbiran dan politik bagi memantapkan jentera kerajaan hari ini.

“Mudahan-mudahan dengan amalan itu membolehkan negeri kita terus maju dan makmur buat selama-lamanya. Kita percaya dengan semangat kesatuan dan penyatuan, dengan usahasama kita semua dalam memainkan peranan dan tanggungjawab masing-masing dapat memastikan Terengganu terus dipacu dan dibangunkan sekali gus dapat memberi manfaat kepada seluruh rakyat.

Majlis Hari Raya TSC meriah dan berwarna-warni.

“Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada TCS yang menjadi tulang belakang kepada jentera pentadbiran kerajaan negeri ketika ini. Begitu juga terima kasih kepada bekas TCS kerana sumbangan bakti selama ini dan masih tidak putus-putus memberikan khidmat bakti, nasihat dan pandangan selain berpesatuan bagi menjaga kebajikan ahli bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Hari Keluarga dan Majlis Hari Raya Persatuan Pegawai-Pegawai Tadbir Negeri Terengganu, di Wisma Darul Iman, semalam.

Menteri Besar dan isteri menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak yang hadir.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Penasihat Undang-Undang Negeri, YB Noorbahri Baharuddin; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Haji Abdul Razak Ismail dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Terengganu.

Hadir sama, Yang Dipertua Persatuan Pegawai Tadbir Negeri Terengganu, Haji Mohd Kamil Othman.

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, kekuatan dan semangat perpaduan yang dibentuk dalam persatuan di kalangan TCS serta bekas TCS juga mampu merealisasikan hasrat kerajaan dalam merakyatkan pentadbiran dan pembangunan negeri.




Selain itu, majlis itu menurut beliau, boleh menjadi wadah bagi menyatukan dan mengumpul semua TCS yang jarang berjumpa ketika waktu pejabat disebabkan komitmen tugas dan kekangan waktu sebelum ini.

“Sebagai seorang yang pernah menjadi ahli TCS, saya menyanjung tinggi dengan usaha yang dilakukan oleh persatuan untuk mengadakan hari keluarga sempena sambutan hari raya pada tahun ini.

“ Sesungguhnya ini menjadi wadah bertemu, bersua muka kerana walaupun kita berada dalam satu bumbung tetapi kadangkala amat jarang bertemu, apatah lagi dalam keadaan hilai ketawa menjalankan tugas, ada tersentuh dan tersinggung perasaan di kalangan kita. Inilah masa terbaik untuk memohon maaf anatara satu sama lain,” katanya.