"Saya terharu kerana pihak atasan mempercayai segala komitmen, tanggungjawab dan tugasan sepanjang saya menjalankan tugas.
“Bersyukur ke hadrat Ilahi kerana saya antara yang terpilih untuk menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) tahunan ini, “ kata Haji Mohd Nor Mohamad.
APC itu diterima pada Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) tahunan dan bulanan 2012, di dewan Auditorium jabatan itu, hari ini.
Seramai 71 kakitangan di mana 63 penjawat awam menerima APC tahunan dan lapan lagi memperoleh APC bulanan.
Majlis yang disempurnakan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah itu turut dihadiri Persuruhjaya JaHEAT, Dato’ Haji Rozali Salleh dan Pengarah JaHEAT Puan Hajah Samsiah Awang.
Penerima APC tahunan, Mohd Shuhaimi Hassan, berkata APC yang diterima ini menjadi pemangkin untuk dia terus mempamerkan prestasi kerja cemerlang.
“Apa yang dilaksanakan ini bukan untuk kepentingan diri sendiri tetapi semata-mata mahu melihat JaHEAT cemerlang di mata masyarakat,” katanya.
Puan Wan Nazihah Wan Abdullah, berkata apa yang diterima ini adalah usaha bersama antara rakan sekerja yang tidak pernah jemu membantu dan berusaha untuk kecemerlangan JaHEAT.