Halaman

30 September 2012

ISTIADAT PERBARISAN DAN TEMBAK HORMAT

Sekitar Istiadat Perbarisan dan Tembak Hormat sempena Sambutan Hari Keputeraan ke-50 Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Gambar-gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.









Lebih 30,000 pelajar khatam al-Quran tahun ini

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Lebih 30,000 pelajar sekolah rendah dan tabika di seluruh negeri Terengganu akan khatam al-Quran pada tahun ini.

Bagi tujuan tersebut, dua majlis khatam al-Quran secara berasingan akan diadakan pada bulan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Haji Ahmad Razif Abd Rahman, berkata Majlis Khatam al-Quran Kelas Kafa 2012 akan diadakan di Stadium Tertutup Gong Badak, pada 20 Oktober.


“Seramai 22,000 pelajar Kafa akan menyertai majlis khatam al-Quran yang diadakan secara serentak di tujuh lokasi, termasuk Stadium Tertutup Gong Badak,” katanya kepada Teganukita, kelmarin.

Beliau berkata, seramai 6,500 pelajar kelas Kafa di daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus akan menghadiri majlis khatam al-Quran di stadium berkenaan manakala selebihnya akan berada di enam lokasi seluruh negeri yang telah ditetapkan Yayasan Islam Terengganu (YIT).

Majlis khatam al-Quran bagi pelajar kelas Kafa akan dilakukan secara serentak melibatkan 22,000 pelajar. Manakala Majlis Khatam al-Quran bagi Program Pintar al-Quran yang melibatkan kanak-kanak kelas tabika akan diadakan di stadium yang sama pada 23 Oktober.

“Bagi majlis yang kedua, serama 9,639 kanak-kanak tabika akan turut serta di mana beberapa acara lain turut diatur bagi menjayakan majlis,” katanya.

Kedua-dua program berkenaan akan dirasmikan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan turut dihadiri ibu bapa pelajar terlibat.


Karnival Jelajah Sihat Peringkat Daerah Besut mendapat sambutan penduduk



Oleh: Mohammad Ishak 

Karnival Jelajah Sihat anjuran Kementerian Kesihatan mampu memberi kesedaran dan minat masyarakat memupuk amalan cara hidup sihat menerusi pelbagai aktiviti yang dijalankan sempena kempen yang diadakan di seluruh negara.

Kempen sama bagi Peringkat Daerah Besut diadakan di Dataran Jertih Souq semalam, juga bertujuan memberi pendedahan kepada orang ramai mengenai pentingnya menjaga kesihatan dalam mengamalkan gaya hidup sihat sepanjang hayat.

Program yang dirasmikan oleh Ahli Parlimen Besut,Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin yang juga Penasihat Agama YAB Perdana Menteri, memberi peluang penduduk setempat melihat pelbagai aktiviti dan pameran yang diadakan di tapak karnival.

29 September 2012

Sultan Mizan berkenan menyampaikan hadiah kepada pemenang LJSM

Oleh: Suriati Ali

 Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menyempurnakan Majlis Penyampaian Hadiah Kejohanan Larian Jambatan Sultan Mahmud (LJSM) di Dataran Bangau, Batu Buruk, Kuala Terengganu, hari ini.


Ketibaan baginda disambut Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB Rozi Mamat dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, YB Datuk Za’abar Mohd Adib.

Sebelum itu, Dato’ Seri Haji Ahmad meyempurnakan Majlis Pelepasan LJSM di lokasi sama kira-kira jam 7 pagi.

Lebih 5,000 peserta tempatan dan luar negara, termasuk Thailand, Singapura, Kenya, Indonesia dan Afrika Selatan menyertai larian sejauh 21 kilometer (km), 10 km, 7 km dan 4.5 km itu.

Hadiah keseluruhan bagi kejohanan itu cukup lumayan iaitu melebihi RM200,000. Sebanyak 13 kategori dipertandingkan antaranya, terbuka kepada semua rakyat Malaysia dan luar negara, rakyat Terengganu, penuntut Institut Pengajian Tinggi, pelajar sekolah dan Orang Kurang Upaya (OKU).


Dua kategori LJSM diungguli peserta Kenya iaitu Kiproo Lilan Kennedy (terbuka lelaki) dengan catatan masa 1:03:43 dan Rumokol Elizabeth Chepkanan (terbuka wanita) 1:12:13.

Masing-masing layak membawa pulang wang tunai RM30,000 bagi terbuka lelaki dan RM22,000 pula terbuka wanita.


 Manakala bagi kategori lelaki OKU dimenangi Daniel Lee, 21, dari Setapak, Kuala Lumpur dan wanita OKU pula diperoleh Chow Mei Hsai. Masing-masing layak membawa pulang wang tunai RM2,000.

 

Usaha catat kejohanan LJSM dalam MBOR

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan negeri bersedia menghebahkan tarikh kejohanan Larian Jambatan Sultan Mahmud (LJSM) setahun lebih awal supaya lebih ramai peserta luar negara dapat menyertainya.

 Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata tarikh LJSM untuk tahun depan bermungkinan akan diadakan pada 28 September dan pihak berkaitan sudah menghebahkan kepada umum bermula sekarang.

 “Pihak kami cukup gembira dengan jumlah peserta yang mengikuti larian LJSM kali ini walaupun sudah 12 tahun menyepi atau tidak dianjurkan.

“Bagi menarik lebih ramai jumlah peserta tempatan dan luar negara untuk kejohanan sama 2013, kita turut bersetuju menaikkan jumlah hadiah sebanyak 50 peratus berbanding RM230,000 tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas tamat kejohanan LJSM di Dataran Bangau, Batu Burok, Kuala Terengganu, hari ini.

Lebih 5,000 peserta tempatan dan luar negara, termasuk Thailand, Singapura, Kenya, Indonesia dan Afrika Selatan menyertai larian sejauh 21 kilometer (km), 10 km, 7 km dan 4.5 km itu.

Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menyempurnakan Majlis Penyampaian Hadiah kepada pemenang LJSM.

Dato’ Seri Haji Ahmad turut memberitahu, kerajaan akan berusaha mendapat pengiktifaran dari Malaysia Book Of Record (MBOR) dengan meningkat jumlah peserta LJSM sedia ada iaitu daripada 5,000 kepada 10,000 orang.

“Bagi mencapai piawaian Sukan Paralimpik pula, kategori OKU akan diperkemaskan dengan mengasingkan jenis kerusi roda biasa dan kerusi roda standard paralimpik.

“Pendekatan ini secara tidak langsung, menarik minat OKU luar negara untuk menyertainya berikutan ingin memperbanyakan latihan sebelum menyertai Sukan Para Olimpik,” katanya.

 

Bajet utamakan rakyat, sejajar keupayaan negara:MB

Oleh: Aida Abd Rahman

Belanjawan 2013 yang dibentangkan Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak mengutamakan kebajikan dan meringankan beban rakyat sejajar dengan keupayaan ekonomi negara, demikian kata Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas Bajet 2013 yang dibentangkan Dato’ Seri Mohd Najib sambil menyifatkan ia merupakan satu pembentangan yang menepati konsep `Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’.

Katanya, pelbagai bantuan diberikan termasuk Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bukan sahaja diteruskan, malahan diperluaskan lagi kepada mereka yang belum berkahwin (bujang) turut menikmatinya.

“ Ini bersamaan dengan apa yang dilakukan oleh Terengganu yang mana kita berikan bantuan Dana Hari Raya kepada umur 21 tahun ke atas dan mereka yang belum berkahwin serta sebagainya.

“Selain itu, ia merupakan satu usaha untuk meringankan beban rakyat . Walaupun kerajaan hendak bantu rakyat, tetapi kalau kerajaan tidak mempunyai wang, tidak mempunyai pendapatan tinggi tidak boleh buat juga,” katanya.

Beliau berkata, keputusan dan dasar Kerajaan Pusat ini dilaksanakan berkat pembangunan yang dicapai dari aspek pentadbiran, pengurusan kewangan yang baik, hasil negara yang sentiasa meningkat sepanjang masa serta kestabilan politik.

Pada masa yang sama, katanya `track record’ dan pencapaian semasa kerajaan hari ini juga sewajarnya membuka mata semua rakyat bagi meneruskan sokongan dengan memilih Barisan Nasional untuk memastikan kestabilan politik pada masa akan datang.

 

Rakyat sambut Baik Bajet 2013 yang diumumkan Perdana Menteri



Oleh: Mohammad Ishak 

Pelbagai lapisan rakyat negeri ini menyambut baik pembentangan Bajet 2013 oleh kerajaan sambil menyifatkan ia satu anugerah yang mengembirakan kerana ia mencerminkan kenendak dan aspirasi rakyat negara ini.

Pemimpin Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri ini juga turut mengalu-alukan pembentangan Bajet 2013 dan memberi reaksi positif kerana ia memberi peluang seluruh rakyat menikmati hasil pembentangan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri semalam.

Dato',Seri Naib Tun Abdul Razak menyediakan bajet yang mampu melahirkan kemakmuran dan kesejahteraan rakyat dan banyak memberi fokos kepada pelbagai golongan termasuk kakitangan awam, pesara kerajaan, petani, nelayan, golongan remaja, Orang Kelainan Upaya (OKU) dan semua lapisan masyarakat.,

Pengerusi Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia Cawangan Terengganu, Dato, Syed Abu Bakar Abdullah yang gembira dengan pengumuman Perdana Menteri kerana tidak melupakan jasa dan khidmat pesara ketika membentangkan bajet berkenaan.

Katanya, pemberian bonus RM500 dan penyelarasan pencen daripada RM720 kepada RM820 sebulan kepada pesara bermula Januari 2013 membuktikan kerajaan menghargai golongan pesara. Menurutnya, penyelarasan itu memberi maanfaat kepada 50,371 pesara yang membabitkan peruntukan tambahan sebanyak RM60 juta setahun.

“Saya mewakili 2,000 ahli persatuan pesara  kerajaan di Terengganu mengucapkan penghargaan terima kasih kepada Perdana Menteri,” katanya.

Pengerusi Persatuan Bekas Polis Malaysia Cawangan Terengganu, Hussein Awang Ngah berkata, beliau berharap penyelarasan pencen itu akan turut memberi manfaat kepada bekas anggota polis.

Katanya, persatuan itu yang mempunyai lebih 4,000 ahli di Terengganu yakin bajet yang diumumkan Perdana Menteri itu adalah berniat ikhlas dan bukan bajet pilihan raya seperti didakwa pembangkang.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Veteran UMNO Bahagian Besut, Yussof Kassim berharap, rakyat terus memberi sokongan kepada Perdana Menteri khususnya parti yang diterajuinya Barisan Nasional (BN) kerana ia sebuah kerajaan yang mampu memberi jaminan kehidupan yang lebih baik dan terjamin kerana mempunyai sumber kewangan yang kukuh dan cekap mengurusnya.

Katanya, sokongan rakyat kepada BN amat diperlukan bagi memberi kesinambungan kepemimpinan yang berkesan untuk membina sebuah negara yang aman dan disegani dunia luar kerana urus tadbir yang baik dan berkesan.

LARIAN ANTARABANGSA JAMBATAN SULTAN MAHMUD

TERKINI : Sekitar Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Haji Ahmad Said di Majlis Pelepasan Larian Antarabangsa Jambatan Sultan Mahmud 2012 di Dataran Bangau, Batu Buruk, Kuala Terengganu.

Gambar-gambar oleh ZULKIPLI PUTRA

Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said melepaskan peserta Larian Antarabangsa Jambatan Sultan Mahmud di Dataran Bangau, Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu.


Peserta OKU memulakan pertandingan yang merupakan paling ramai penyertaan sehingga tercatat dalam Malaysia Books Of Record.

1Malaysia...peserta yang telah menamatkan larian.

Dato' Seri Haji Ahmad Said mengalungkan medal kepada seorang peserta dari luar negara.

Ramai peserta luar negara mengambil bahagian.

Peserta begitu bersemangat menamatkan larian.

Medal khas untuk peserta yang berjaya menamatkan larian.

Petugas dengan medal untuk disarungkan kepada peserta yang menamatkan larian.

Pusat ternak lebah di Tasik Kenyir

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri berhasrat untuk membangunkan sebuah pulau di Tasik Kenyir sebagai pusat penternakan lebah satu masa nanti.

Usaha itu bukan sahaja dapat meningkatkan sektor pertanian negeri dan menambah ekonomi masyarakat setempat, malah menjadi satu lagi produk baru yang mampu menarik pelancong ke tasik terbesar di Asia Tenggara itu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata kerajaan negeri akan meneliti semula perkara itu secara terperinci bagi melihat kesesuaian sama ada menternak lebah yang menghasilkan madu tualang seperti di hutan Marang atau madu akasia di hutan Setiu.

“Insya-Allah selepas ini kita minta supaya mereka menternak lebah di Tasik Kenyir sama ada madu tualang dan sebagainya . Ia bakal menjadi satu lagi produk pelancongan di Tasik Kenyir itu sendiri,” kata beliau di sidang akhbar selepas Perasmian Persidangan ke-11 Persatuan Perlebahan SeAsia (AAA) & Apiekspo 2012, di Dataran Awam Batu Buruk, Kuala Terengganu, semalam (28 September). Turut berkenan berangkat dan mencemar duli melancarkan perasmian, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Asas Tani negeri, Haji Asha’ari Idris,:Pengerusi AAA, Profesor Siriwat Wongsiri dan Naib Pengerusinya, Dato’ Dr Makhdzir Mardan.

Menteri Besar turut berbangga dengan penganjuran persidangan yang memilih Terengganu sebagai tuan rumah mewakili Malaysia pada kali ini.

 “Tahniah Yayasan DiRaja Sultan Mizan dan juga AAA yang telah mengadakan persidangan dan ekspo di sini yang pertama kali di Malaysia untuk kali ke-11 peringkat Asia. Bukan sahaja peringkat Asia sahaja terlibat, turut terdapat penyertaan 27 negara, malahan pameran turut melibatkan juga negara luar Asia seperti seperti Alaska,” katanya.

 Beliau berkata, usaha itu harus dipuji dan disokong oleh semua pihak khususnya umat Islam kerana terdapat ayat mengenai haiwan itu turut di sebut dalam al-Quran (surah An-Nahl).

Selain itu, katanya Pengerusi AAA, Profesor Siriwat Wongsiri turut mengatakan bahawa kajian lebah merupakan kajian paling besar berikutan lebih 100 jurnal dikeluarkan mengenainya, malah Dato’ Dr Makhdzir juga seorang yang terkehadapan di negara ini dalam membuat kajian berkaitan serangga itu.

 

UMT bantu urus sumber laut

Oleh: Suriati Ali 

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berada di lokasi terbaik, iaitu di pesisir Laut China Selatan di mana konfigurasi lautnya yang unik mempunyai kepelbagaian spesis paling tinggi dan produktif di dunia.

Naib Canselor UMT Prof. Dato’ Dr. Ibrahim Komoo berkata, keadaan ini membuka peluang lebih banyak penyelidikan dapat dijalankan di Laut China Selatan oleh para penyelidik UMT.

“Tanpa pengetahuan yang mendalam dan menyeluruh berkenaan ekosistem marin, isu kelesterian tidak dapat ditangani dengan berkesan,” katanya.

 Katanya melalui slogan ‘terokaan seluas lautan’ UMT berhasrat untuk membantu kerajaan ke arah pengurusan sumber lautan yang mampan.

 Menurutnya, tahun ini kekuatan UMT dalam bidang oseanografi dan sains marin akan diperkasakan lagi dengan kapal penyelidik RV Discovery dan stesen penerimaan imej satelit yang pertama dan satu-satunya diluluskan penempatannya di institut pengajian tinggi di negara ini.

 “Jun lalu institut oseanografi telah diaudit oleh Kementerian Pengajian Tinggi untuk mendapatkan status HI-COE sepenuhnya,” katanya.

 Selain itu, kekuatan UMT dalam bidang sains marin turut diperakui oleh Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan satu memorandum persefahaman telah pun ditandatangai bagi menubuhkan Institut Oseanografi Kebangsaan (IOK).