Halaman

29 September 2012

Usaha catat kejohanan LJSM dalam MBOR

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan negeri bersedia menghebahkan tarikh kejohanan Larian Jambatan Sultan Mahmud (LJSM) setahun lebih awal supaya lebih ramai peserta luar negara dapat menyertainya.

 Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata tarikh LJSM untuk tahun depan bermungkinan akan diadakan pada 28 September dan pihak berkaitan sudah menghebahkan kepada umum bermula sekarang.

 “Pihak kami cukup gembira dengan jumlah peserta yang mengikuti larian LJSM kali ini walaupun sudah 12 tahun menyepi atau tidak dianjurkan.

“Bagi menarik lebih ramai jumlah peserta tempatan dan luar negara untuk kejohanan sama 2013, kita turut bersetuju menaikkan jumlah hadiah sebanyak 50 peratus berbanding RM230,000 tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas tamat kejohanan LJSM di Dataran Bangau, Batu Burok, Kuala Terengganu, hari ini.

Lebih 5,000 peserta tempatan dan luar negara, termasuk Thailand, Singapura, Kenya, Indonesia dan Afrika Selatan menyertai larian sejauh 21 kilometer (km), 10 km, 7 km dan 4.5 km itu.

Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menyempurnakan Majlis Penyampaian Hadiah kepada pemenang LJSM.

Dato’ Seri Haji Ahmad turut memberitahu, kerajaan akan berusaha mendapat pengiktifaran dari Malaysia Book Of Record (MBOR) dengan meningkat jumlah peserta LJSM sedia ada iaitu daripada 5,000 kepada 10,000 orang.

“Bagi mencapai piawaian Sukan Paralimpik pula, kategori OKU akan diperkemaskan dengan mengasingkan jenis kerusi roda biasa dan kerusi roda standard paralimpik.

“Pendekatan ini secara tidak langsung, menarik minat OKU luar negara untuk menyertainya berikutan ingin memperbanyakan latihan sebelum menyertai Sukan Para Olimpik,” katanya.