Halaman

26 September 2012

Pro-A menang besar – petanda baik bagi BN

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Kemenangan besar calon proaspirasi (Pro-A) pada pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) institusi pengajian awam (IPTA) di seluruh negara yang berakhir semalam, memberi petanda baik kepada Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Sehingga malam tadi, kejayaan Pro-A menguasai 12 universiti, termasuk lima yang mengadakan pemilihan MPP minggu lalu, menguatkan sokongan masyarakat kampus terhadap Kerajaan BN.

Keadaan ini tentunya melegakan pemimpin kerajaan di mana sebelum ini masyarakat kampus sering dikaitkan dengan pelbagai kegiatan yang lebih cenderung kepada pihak pembangkang.

Pemimpin pembangkang sering menggunakan para pelajar universiti tempatan untuk menjayakan kegiatan mereka seperti demonstrasi haram dan program-program yang memburuk-burukkan kerajaan.

Pemilihan MPP kali ini merupakan yang pertama kali selepas pindaan Akta Universiti dan Kolej 1971 (pindaan 2012) yang membenarkan pelajar memegang jawatan dalam parti politik, tetapi tidak dibenarkan mengadakan kempen parti dalam kampus.

Pemilihan MPP kali ini menyaksikan Pro-A yang dikaitkan dengan parti kerajaan, menang di Universiti Malaya, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Universiti Utara Malaysia, Universiti Malaysia Pahang, Universiti Teknologi Mara, Universiti Tun Hussein Onn, Universiti Sultan Zainal Abidin, Universiti Teknikal Melaka, Universiti Malaysia Sabah dan Universiti Malaysia Perlis.

Lebih memeranjatkan Pro-A turut menang di Universiti Malaysia Kelantan yang kerajaan negeri dikuasai parti pembangkang apabila kumpulan itu memenangi 10 kerusi berbanding Pro-M yang dikaitkan dengan pembangkang hanya menang empat kerusi.

Pro-A turut melakukan kejutan di Universiti Malaya apabila buat pertama kali kumpulan prokerajaan itu menang lebih banyak kerusi iaitu 21 kerusi berbanding Pro-M 20 kerusi.

Sokongan masyarakat kampus kepada Kerajaan BN dilihat bertambah kuat apabila Kumpulan Pro-M gagal memenangi sebarang kerusi di lima buah universiti iaitu UUM, UiTM, UniSZA, Utem dan UniMAP.

Keputusan penuh di dua universiti lagi iaitu Universiti Sains Malaysia dan Universiti Malaysia Terengganu masih belum diketahui.

Pemerhati politik berpendapat pemilhan MPP kali ini memperlihatkan kematangan masyarakat pelajar dalam menentukan sokongan mereka kepada parti-parti politik negara ini.

Masyarakat kampus yang terdiri daripada golongan terpelajar tentunya dapat menilai dengan waras corak kepimpinan negara yang diterajui Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.

Mereka mengikuti dengan teliti perkembangan politik, ekonomi dan keadaan sosial negara yang semakin meningkat dengan pelbagai program transformasi yang diperkenalkan Perdana Menteri.

Bantuan serta subsidi yang mencurah kepada golongan kurang berada dan semua lapisan masyarakat di bawah kepimpinan Dato’ Seri Mohd Najib kini telah menambat hati masyarakat kampus untuk menyokong dan mendokong kerajaan.

Kita mengharapkan sokongan ini akan berterusan hinggalah ke PRU 13 bagi membolehkan Kerajaan BN bukan saja kekal sebagai pemerintah, tetapi menang besar dengan majoriti melebihi dua pertiga.