Halaman

29 September 2012

26 Pasaraya dan Pasar Borong di Terengganu turun harga barang sempena kempen



Oleh: Mohammad Ishak 

Sebanyak 26 pasaraya dan pasar borong di seluruh negeri Terengganu menurunkan harga jualan membabitkan 100 jenis barangan kepada harga yang berpatutan melalui kempen penurunan harga peringkat negeri anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepengunaan (KPDNKK) Negeri Terengganu dengan kerjasama Persatuan Pengguna Negeri mulai 1 Oktober ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dr A Rahman Mokhtar berkata, semua pasaraya dan hypermarket di Terengganu telah bersetuju menurun harga barangan jualan antara 10 hingga 40 peratus sebagai menyahut seruan kerajaan dalam memastikan rakyat dapat membeli barangan keperluan dengan harga yang lebih mjurah daripada biasa.

Katanya, antara barangan yang terlibat dengan penurun harga oleh kumpulan pasaraya dan pasar borong itu termasuk harga ayam, ikan,telur,minyak masak,gula,tepung gandum,makanan bayi,roti,beras dan barangan kering seperti bawang, cili kering, kentang dan rempah ratus.

 “ Langkah yang dilakukan oleh pemilik pasaraya dan pasar borong itu nyata dapat membantu rakyat sebagai pengguna mengimbangi kuasa beli mereka dalam peningkatan arus ekonomi disamping dapat mengurangkan beban rakyat dan sebaliknya mampu menjana pertumbuhan ekonomi negara “, kata selepas melancarkan Kempen Penurunan harga Peringkat Negeri Terengganu di perkarangan Pasaraya Pantai Timur di Kuala Besut di sini hari ini.

Menurutnya, kempen penurun harga itu telah dituruti bersama oleh semua pasaraya dan pasar borong diseluruh negeri yang membabitkan penurun harga bagi 60 hingga 100 jenis barang.

Dr A Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Kuala Besut berkata, pasaraya dan pasar hyper yang terlibat dengan kempen penurunan harga itu ialah dari cawangan-cawangan Kumpulan Pasaraya Econjaya Sdn Bhd., Pasaraya Pantai Timur Sdn Bhd.,Pasaraya Samamaju Sdn Bhd.,Pasaraya Aneka Sdn Bhd., Pasaraya Xiri Sdn Bhd., dan Tunas manja Sdn Bhd.

Selain itu termasuk juga Pasaraya Nirwana Maju Sdn Bhd., Emporium Hock Kee Seng Sdn Bhd., Astaka Shopping Centre Sdn Bhd., Sabasun Sdn Bhd. Dan Mydin Wholesale Hypermarket serta Mydin Holdings Berhd.

Dr Rahman berkata, kempen penurunan harga itu akan akan dijalankan pada tempoh minimum selama 30 hari sehingga 3 bulan.

Katanya, kempen itu merupakan kempen kedua dijayakan dimana pada peringkat pertama yang diadakan dari 1 hingga 30 April lalu hanya 9 buah pasaraya sahaja yang menyahut seruan berbanding dengan 16 pasaraya dan pasar borong dengan 26 buah cawangan pada kali ini.

 “ Kempen pada kali ini hanya membabitkan barangan berasaskan makanan dan ia dijangka akan diikuti dengan kempen penurunan harga bagi pakaian dan perabot tidak lama lagi”, katanya.