Halaman

24 September 2012

Redang destinasi akhir 130 peserta luar negara Program Malaysia Tourism Hunt 2012

Oleh: Aida Abd Rahman dan Nur Syarifatul Zahidah Mukhtar (Pelatih)

Pulau Redang menjadi destinasi akhir pengembaraan enam hari yang ditempuhi 130 peserta `Program Malaysia Tourism Hunt 2012' selepas memulakan aktiviti itu dari Putrajaya sejak 20 September lalu.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Dato’ Abdul Rahin Mohd Said, program yang turut memilih pusat peranginan terkenal di Terengganu itu memberi impak yang baik dalam usaha menarik lebih ramai pengunjung ke negeri ini sempena Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013.

 “Saya menyambut baik program ini apatah lagi kita sedang membuat persiapan untuk Tahun Melawat Terengganu 2013.

“Kita meraikan kunjungan peserta ini dengan menjamu mereka malam ini sebelum mereka betolak pada pagi esok (25 September) ke Pulau Redang dan akan menikmati keindahan Pulau Redang.Malah, mereka juga akan mengadakan aktiviti di pulau seperti pertandingan mengambil gambar dalam air dan pelbagai aktiviti lagi yang menarik,” katanya ketika sidang akhbar sempena Majlis Makan Malam Bersama peserta Program Malaysia Tourism Hunt 2012, di Hotel Primula Beach Resort, Kuala Terengganu, malam semalam.

Dato’ Abdul Rahin berkata, kesemua peserta bertolak dari Putrajaya menuju ke Fraser Hill, Raub dan ke Gambang Resort, Pahang sebelum meneruskan pengembaraan ke Kemaman.

“Di Kemaman, mereka diajar untuk membuat satar bersama-sama pengusaha satar, sejenis makanan tradisional Terengganu dan seterusnya ke Pantai Kemasik serta ke Awana Kijal, selain ke Noor Arfa Batik untuk bersama-sama melihat demonstrasi pembuatan kraf dan mencating batik,” katanya.

Majlis pelepasan peserta disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Dato’ Sri Ng Yen Yen bersama-sama Presiden Perbadanan Putrajaya, Tan Sri Dato’ Seri (Dr.) Aseh Che Mat, di Putrajaya pada 21 September lalu.

Program berkenaan disertai 130 peserta yang terdiri daripada 40 wakil media tempatan, 45 wakil media asing dari Negara Asean dan pasaran antarabangsa yang melibatkan sembilan negara. Malah 20 wakil penggiat industri pelancongan dan 97 peserta turut menyertai program itu.