Halaman

27 September 2012

Kerajaan komited usaha tanaman Petai Belalang

Oleh; Esah Abdullah

 Kerajaan negeri komited dan bersedia mencagarkan semua tanah terbiar di negeri ini untuk diusahakan dengan tanaman Petai Belalang jika ia benar-benar boleh mendatangkan pulangan lumayan kepada petani di negeri ini.

Majlis penanaman anak pokok petai belalang di Hutan Simpan Mercang, Marang. - Gambar ZULKIPLI PUTRA.
Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, hasil kajian NSE Resourcer Corporation mendapati setiap 10 hektar tanaman ini boleh menghasilkan pendapatan RM2,500 sebulan kepada petani.

 “Kita tidak keberatan untuk mengagihkan tanah-tanah terbiar kepada yang berminat untuk mengusahakan tanaman ini sama ada secara berkelompok atau melalui koperasi,” katanya kepada pemberita di majlis Perasmian Tanaman Petai Belalang di Hutan Simpan Mercang, Marang hari ini (27 September).

Ribuan anak pokok petai belalang yang disemai di tempat khas.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri, Dato’ Toh Chin Yaw; Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan , Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, Dato’ Yahya Khatib Mohamad; Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Dato’ Jebasingam Issace John; Ketua Pegawai Eksekutif NSE Resources Corporation Encik Azhar Anuar dan Pengarah Perhutanan negeri Haji Azmi Nordin.

Katanya, kerajaan juga akan memastikan harga dipasaran bahan ini stabil agar petani memperolehi pulangan yang baik dan tidak mengalami kerugian.

Setakat ini terdapat tiga sepsis Petai Belalang yang boleh hidup subur di sini iaitu benih dari Australia, Thailand dan dari negara kita di mana ketiga-tiga benih ini telah ditanam untuk melihat perbezaan dari segi pembesaran dan hasil yang boleh dikomersialkan.

Anak pokok petai belalang yang telah ditanam.
 “Industri Ini merupakan harapan baru rakyat di negeri ini kerana ia jenis tanaman mudah hidup dan tidak perlu penjagaan rapi dan capai tempoh matang antara 15 hingga 18 bulan,” katanya.

Katanya, sebagai permulaan seluas 9,000 hektar kawasan Hutan Simpan Mercang akan ditanam dengan tanaman akasia ini..

 “Kita akan galakkan mereka menanam pokok-pokok berkenaan kerana Kompleks Biopenapisan di Taman Polimer, Kertih memerlukan bahan mentah itu dalam kuantiti yang banyak untuk menghasilkan produk-produk terbitan bio (bioderivatif) seperti karbohidrat lanjutan, biokimia, biobahan, biobaja dan ramuan suapan aktif,” katanya.