Kerajaan negeri memperuntukkan RM10 juta untuk membina sistem tebatan banjir di Sungai Buaya, Marang bagi mengelak berulangnya kejadian banjir melanda kampung sekitar Bukit Payong .
Empat kampung terlibat ialah Batu 9, Pekan Bukit Bukit Payong, Padang Lebam dan Alor Lit, dijangka tidak lagi berdepan dengan masalah itu apabila projek berkenaan dijangka siap hujung tahun depan.
Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri Bukit Payong, Encik Zaidi Muda, berkata kerajaan negeri meluluskan projek bagi mendalam dan melebarkan sungai berkenaan sejak beberapa bulan lalu selepas menilai keperluan penduduk di kawasan terbabit yang memerlukan kaedah terbaik bagi mengelak masalah banjir terus menghimpit mereka.
“Projek yang dijangka akan mengambil masa setahun sebelum dapat disiapkan itu kemungkinan bermula hujung tahun ini.
“Prasarana itu kelak mampu mengelakkan empat kampung terlibat terus berdepan masalah banjir terutama apabila tiba musim tengkujuh di Pantai Timur,” katanya.
Encik Zaidi berkata, masalah yang berlarutan sejak dua tahun lalu disebabkan sistem saliran yang terganggu selepas siapnya Pasar Borong Batu 9 beberapa tahun lalu.
Katanya, pembinaan tebatan banjir berkenaan membuktikan kerajaan negeri sentiasa mengambil berat dengan penderitaan penduduk dan berusaha memastikan mereka mendapat perhatian dan kemudahan yang sepatutnya bagi menjalani kehidupan dengan selesa.