Halaman

24 September 2012

Presiden Pas perlu ditumbangkan di Marang

Oleh: Aida Abd Rahman

Presiden Pas, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang selaku ketua pembangkang di parlimen perlu ditumbangkan terlebih dahulu sebelum `mencantas’ pengikut-pengikut bawahan beliau.

Senator Dato’ Abdul Rahman Bakar, berkata apabila kepala `hancur’, pasti ekor hilang arah dan tidak boleh berjalan dengan betul.

 “Ketua seperti Abdul Hadi perlu ditewaskan memandangkan dia Presiden Pas. Kalau Abdul Hadi kalah bererti kepala macam sudah hancur. Tiada kepala, tidak boleh berjalan . Kita bukan kerat ekor (dahulu), bukan kerat badan, cantas kepala terus.

 “Jadi, di Marang merupakan satu tempat, satu Parlimen yang amat penting menjadi penghulu segala Parlimen di Malaysia kerana ketua Pas ada di sini (Marang),” katanya kepada Teganukita, baru-baru ini.

Dato’ Abdul Rahman yang pernah digelar `giant killer’ berkata, calon BN perlu mengalahkan Abdul Hadi demi menyelamatkan bukan sahaja Parlimen dan negeri, bahkan negara daripada jatuh ke tangan pemimpin yang berpengaruh dalam Pakatan Rakyat itu.

 Katanya, apabila di peringkat negara tiada presiden (Pas), secara automatik dalam Dewan Rakyat juga tiada lagi suara pembangkang. Bagaimanapun, calon BN yang boleh menumpaskan pemimpin pembangkang yang berpengaruh itu perlulah memiliki kredibiliti dan pemilihannya dapat memberi impak positif kepada pengundi.

 “Dengan tumbangnya Abdul Hadi, membolehkan tiga lokaliti utama, Marang, Terengganu dan juga Malaysia dapat diselamatkan.

 “Jadi, kita harap pihak-pihak berkenaan betul-betul fokus di Marang. Saya kira kalau BN Marang boleh menang, boleh menaikkan lagi moral dan imej BN di Terengganum malah akan menghakiskan pengaruh Pas di negara ini,” katanya.

 Beliau juga menganggap kemenangan calon BN menumbangkan Abdul Hadi tidak sama dengan kemenangan BN di 10 kerusi Parlimen lain.

Katanya, kemenangan BN di Parlimen Marang sesuatu yang sangat penting dan istimewa berikutan menjadi kubu utama Pas di negara ini.

 “Jadi, kena pilih calon yang betul-betul layak, yang betul-betul ada rekod, yang betul-betul rakyat terima, yang betul-betul boleh menang. Pilihan calon jangan ikut emosi, jangan ikut suka tidak suka, jangan ikut individu, tapi ikut suara rakyat. Kena pilih hati-hati. Perlu menanyakan semua orang Marang. Buat bancian perlu melibatkan ramai pengundi, mungkin 5,000- 6,000 orang dan jangan hanya merujuk kepada sepuluh orang sahaja (contohnya) sebelum membuat kesimpulan,” katanya.

 Dalam pada itu, beliau berpendapat Parlimen Marang perlu diberi peluang sekurang-kurangnya kepada dua muka baru, selain selebihnya mengekalkan pemimpin lama.