Halaman

24 September 2012

TSG kuasai GP Kebangsaan Sarawak

Oleh: Aida Abd Rahman

Pasukan Terengganu Pro-Asia Cycling Team (TSG) mengungguli Kejohanan Lumba Basikal GP Kebangsaan Sirkit 3 Sarawak 2012 bagi kategori lebuh raya lelaki elit menerusi dua pelumbanya pada perlumbaan sejauh 184 kilometer di Politeknik Kuching semalam.

Kedua-dua sandaran TSG itu , Mohd Saiful Anuar Aziz dan Mohd Nur Umardi Rosdi yang masing-masing muncul juara dan naib juara menguasai seawal perlumbaan menewaskan pesaing mereka, Heksa Priya Prasatya dari pasukan Custom Cycling yang hanya mampu menduduki tempat ketiga.

Terdahulu dalam acara ujian masa perseorangan lelaki pada hari pertama kejohanan (Sabtu lalu), naib juara elit (Umardi) muncul juara dengan mencatat masa 45: 23.944 saat menewaskan dua pelumba ternama, Muhammad Fauzan Ahmad Lufti dan Ng Yong Li.

Selepas mendominasi acara ujian masa individu (ITT) kelmarin, TSG yang kini dianggap kelab benua terkuat di Asia menampilkan seorang lagi pelumba berbeza iaitu Mohd. Saiful Anuar untuk meneruskan penguasaan dalam acara lebuh raya.

Paling menarik, Mohd. Saiful Anuar semalam melakukan pemecahan solo tatkala perlumbaan berbaki tiga kilometer untuk meninggalkan rakan sepasukan, Mohd. Nor Umardi dan pelumba pasukan Customs Cycling Team dari Indonesia, Heksa Priya Prasatya untuk menang dengan catatan masa 4 jam 51 minit 20 saat dengan purata kelajuan 37.83 kilometer sejam.

Pelumba elit itu meninggalkan dua pesaing terdekat dengan kelebihan 3:07s sekali gus memastikan TSG kekal selaku kuasa sukan berbasikal di Malaysia ketika ini.

"Saya terpaksa mengambil keputusan untuk keluar pada tiga kilometer terakhir. Saya lihat rakan sepasukan (Mohd. Nor Umardi) dan seorang pelumba Indonesia serta Muhammad Rauf (Nur Misbah) tetap memberi saingan getir kepada saya.

"Namun saya rasa, saya boleh melakukan pemecahan solo dan meminta pertolongan rakan sepasukan untuk mengawal pergerakan pesaing lain. Akhirnya kami berjaya memastikan TSG menang perlumbaan ini," katanya.

Bagi acara elit wanita sejauh 115 kilometer pula menyaksikan Jupha Somnet menggunakan sepenuhnya kepakaran selaku jaguh trek apabila menewaskan dua pelumba lain dari Terengganu dan Kedah, Nur Suhada Zainal serta Masziyaton Mohd. Radzi.

Semua pelumba tersebut merakam masa 3:30.40s tetapi Masziyaton masih mampu mengekalkan jersi merah jambu selaku pendahulu kutipan mata elit wanita GP Kebangsaan 2012 sehingga ke pusingan seterusnya di Lumut pada awal November nanti.

Pelumba junior Terengganu turut membuktikan betapa mereka kekal kuasa dominan tunggal di Malaysia  ketika ini apabila Mohd. Iskandar Fitri Ahmad Sabti melakukan tindakan bijak dengan memecut lebih awal pada garisan 200 meter ke penamat sekali gus mengenepikan pencabar dari Selangor, Muhammad Imran Mohd. Zubir.

Mohd. Iskandar Fitri merakam masa 2:35.29s untuk mencicirkan Muhammad Imran dengan kelebihan satu saat manakala seorang lagi pelumba Terengganu, Abdul Arif Abdul Rahman menduduki tempat ketiga dengan perbezaan masa 1:34s.