Halaman

25 September 2012

Majlis Veteran UMNO Besut mahu BN kekal memerintah

Oleh: Mohammad Ishak



Bagi menjamin Barisan Nasional (BN) kekal memerintah di Negeri Terengganu pada Pilihan Raya Umum Ke 13 (PRU13),pucuk pimpinan parti khususnnya UMNO digesa mengambil tindakan segera mencegah ahli parti daripada menyeleweng atau sabotaj calon yang dipilih pucuk pimpinan.

 Perkara itu diputuskan pada persidangan tahunan Majlis Veteran UMNO Bahagian Besut Kali Ke 6 yang berlangsung di Dewan Ehsan UMNO Bahagian Besut, semalam. Pengerusinya, Yusoff Kasim berkata, pencegahan awal perlu dilakukan pucuk pimpinan parti bagi mempastikan tidak ada mana-mana individu bertindak menikam daripada belakang terhadap keputusan yang dibuat oleh parti.

 Katanya, perkara itu adalah antara beberapa usul politik yang diluluskan sebulat suara pada persidangan yang dirasmikan oleh Penasihat Agama Perdana Menteri,Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin yang juga Ahli Parlimen Besut.

 Persidangan itu dihadiri 200 ahli veteran juga mahu lebih banyak kegiatan berunsur politik dilakukan sekarang untuk menarik minat pengundi menyokong kerajaan.

 Yusoff berkata, ahli majlis itu juga berikhrar untuk sama-sama menyokong mana-mana calon yang dipilih bertanding bagi mempastikan BN terus kekal memerintah negeri dan negara selepas pilihan raya akan datang.

 Berucap pada majlis itu Dato’ Seri Dr Abdullah berkata, peranan yang dilakukan oleh veteran UMNO tidak boleh diperkecilkan kerana mereka mempunyai pangalaman luas dalam politik dan pernah berhadapan dalam beberapa pilihan raya umum. Katanya,walaupun sudah dianggap veteran tetapi sebahagian besar ahli UMNO masih terus bersemangat dan tiada istilah bersara dalam politik sebaliknya tetap bersama untuk membina parti terus cemerlang.