Halaman

24 September 2012

106 persatuan belia terima bantuan

Oleh: Mastura Jamaluddin
Gambar oleh Mastura Jamaluddin

Sebanyak 106 buah persatuan belia di daerah Hulu Terengganu menerima bantuan pentadbiran sebanyak RM2,000 daripada kerajaan negeri, semalam.

YB Haji Rozi Mamat menyampaikan bantuan pentadbiran kepada persatuan belia daerah Hulu Terengganu.

Bantuan pentadbiran itu disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, YB Haji Rozi Mamat, dalam satu majlis di Kuala Berang.

Menurut YB Haji Rozi,bantuan tersebut adalah untuk membantu persatuan belia yang ada pada hari ini melaksanakan aktiviti-aktiviti yang dirancang di samping membantu perkembangan gerakan mereka di cawangan.

“Kita harus bersyukur kerana mendapat bantuan pentadbiran ini daripada kerajaan negeri yang telah dilaksanakan sejak saya memegang portfolio ini bagi membantu pergerakan persatuan belia untuk lebih aktif di peringkat cawangan.

“Kerajaan negeri Terengganu adalah satu-satunya negeri yang memberi bantuan seperti ini jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain,” katanya sewaktu merasmikan majlis penyampaian tersebut.

Menurutnya, belia adalah pewaris kepimpinan akan datang dan merupakan satu organisasi NGO yang bebas untuk mengangkat martabat agama, bangsa dan negara.

Beliau turut menyarankan supaya persatuan belia menganjurkan pelbagai seminar seperti peluang perniagaan dan mengambil peluang di atas Pembangunan Tasik Kenyir sebagai Pulau Bebas Cukai.

“Jangan sia-siakan peluang yang ada, gunakan sebaik yang mungkin dan jangan biarkan pihak luar mengambil peluang yang ada di Tasik kenyir.

Kita haruslah menggunakan peluang yang ada di depan mata untuk kemajuan diri sendiri dan meningkatkan ekonomi demi menjamin masa depan yang cemerlang,” katanya.