Halaman

24 September 2012

Fama agih lembu kepada keluarga miskin

Oleh: Suriati Ali 

 Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Terengganu mengagihkan 16 ekor lembu bernilai RM36,000 kepada empat keluarga miskin, di daerah Besut hari ini.

 Pengarah Fama negeri, Encik Hasan Jusoh berkata pengagihan itu bertujuan membantu keluarga tersebut mengusahakan ternakan lembu secara kecil-kecilan, sekali gus membebaskan mereka daripada kepompong kemiskinan.

 "Setiap penerima bantuan layak menerima tiga lembu betina dan seekor lembu jantan membabitkan kos kira-kira RM9,000," katanya.


 Menurut Hassan empat penerima bantuan itu berasal dari beberapa buah kampung sekitar Besut iaitu, Kampung Anak Ikan, Kampung Bukit Payong, Kampung Bukit Keluang dan Kampung Tembila.

 Beliau berkata bantuan lembu melalui program Azam Tani kepada golongan miskin itu, merupakan pertama kali dilakukan Fama Terengganu pada tahun ini.

 "Tahun ini, Fama menyasarkan mambantu seramai 100 orang miskin melalui pelbagai bantuan dan setakat ini, seramai 30 keluarga miskin sudah dibantu dalam pelbagai bidang berkaitan asas tani," katanya.

 “Fama turut membantu penternak lembu memasarkan hasil ternakan mereka terutama ketika Hari Raya Aidiladha selepas berjaya mengusahkan ternakan lembu bantuan tersebut.

 "Hasil jualan itu kelak, mereka (penternak) boleh menggunakan modal itu untuk membeli lembu lain untuk diternak," katanya.