Oleh: Suriati Ali
Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA
Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA
Wakil rakyat di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) dinasihatkan supaya jangan sombong atau ego sebaliknya perlu berjiwa besar dan bersikap pemaaf dengan rakyat.
Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Terengganu, Dato' Yahya Khatib (gambar kanan) , berkata “Jangan hanya tunjuk muka atau `turun padang’ sewaktu tiba musim pilihan raya sahaja. Jika tetap berbuat demikian ia akan memberi tamparan hebat kepada pemimpin itu sendiri.
“Kita perlu menganggap, setiap rakyat itu nadi dan nadi itu pula adalah pengundi, kita sebagai pemimpin sewajarnya ingat ini semua, jika mahu terus kekal sebagai wakil rakyat dan sayangkan parti Umno,” katanya pada satu majlis baru-baru ini.
Menurutnya, pelbagai pendekatan sudah dilaksanakan malah di setiap DUN hampir RM3 juta diperuntukkan termasuk program atap biru, rumah Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT), sukan rakyat dan sebagainya.
“Jika melihat peruntukan yang disumbangkan, mustahil kita akan kalah dalam pilihan raya akan datang. Oleh itu, pemimpin setempat perlu bersedia dan `turun padang’ bagi mendalami masalah rakyat.
“Sentuhan daripada pemimpin itu cukup penting bagi menawan hati setiap rakyat atau pengundi,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri.
Dato’ Yahya Khatib berkata, dia selalu berpesan, kita sebagai orang politik, jangan terlalu mudah berkecil hati, terasa hati, yang penting mesti berhati-hati.
“Seeloknya perlu mencari penapis yang sempurna, ibaratnya jika ingin minum air teh 0, penapis yang digunakan itu kurang elok, maka air yang ditapis itu akan berhabuk dan tidak selesa untuk diminum serta dipandang,” katanya