Halaman

26 September 2012

Kesinambungan kepimpinan BN, pacu pendidikan setanding negara maju

Oleh : Aida Abd Rahman
Gambar ZULKIPLI PUTRA

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Dato’ Muhyiddin Mohd Yassin ketika berucap di hadapan rakyat Dun Wakaf Mempelam.

Kerajaan melaksanakan pelbagai program transformasi pendidikan bagi memastikan generasi hari ini menguasai bidang ilmu, kemahiran, kebijaksanaan serta mampu menandingi sistem pendidikan yang ada di negara maju di dunia.

 Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Dato’ Muhyiddin Mohd Yassin, berkata segala perancangan dan hala tuju bidang pendidikan itu hanya dapat diterjemahkan dengan jaya jika rakyat terus memberi sokongan kepada kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) nanti.

 “Hari ini sudah banyak usaha dibuat dengan kita membina banyak sekolah, kita membina banyak kemudahan untuk membantu pelajaran anak kita, kita menyediakan lebih daripada 465,000 guru di seluruh negara, mereka (guru) yang sudah terlatih untuk mendidik anak-anak kita menguasai bidang ilmu yang kita kehendaki.


“Tetapi hal sebegini sahaja tidak mencukupi kerana dunia hari ini agak berubah pantas kalau Malaysia hendak menjadi negara maju, sebagaimana yang kita sebutkan tadi salah satu perkara pokok adalah bagaimana kita hendak menentukan generasi anak-anak kita hari ini dapat dibekalkan dengan pengetahuan kemahiran dan juga kebijaksanaan. Dengan cara begitu, kita dapat menandingi apa yang ada di negara-negara maju,” katanya beliau berucap sempena Majlis Sepetang Bersama Timbalan Perdana Menteri, di Perkarangan Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ahmad, Kuala Terengganu, semalam (25 September).

Turut hadir,Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah dan semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu. Hadir sama, Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu, Dato’ Wan Ahmad Farid Wan Salleh dan Pegawai Pembangunan DUN, Haji Wan Mahyuddin Wan Ngah.

 Tan Sri Muhyiddin berkata, beliau akan memberikan sepenuh tumpuan dan mengerah tenaga bagi memastikan segala perancangan dalam aspek pendidikan berdasarkan Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025 dapat dilaksanakan bersungguh-sungguh.

 “Untuk tahun-tahun depan, mudahan-mudahan apabila kerajaan BN terpilih semula, insya-Allah dengan sokongan semua rakyat jelata maka pelan ini dapat kita laksanakan dengan cara bersungguh-sungguh dan kita harap dalam jangka masa tidak terlalu lama maka sistem pendidikan negara kita akan dikatakan setanding dengan sistem pendidikan yang ada di negara maju di dunia,” katanya.

 Katanya, pelan pembangunan yang akan berlangsung dalam tempoh 13 tahun yang dilancarkan Perdana Menteri itu bertujuan untuk memastikan aspek pendidikan dapat dipacu lebih jauh serta lebih baik daripada apa yg sudah dilakukan pada masa kini.

 Beliau juga gembira apabila Perdana Menteri memberi jaminan ketika melancarkan pelan pembangunan berkenaan bahawa kerajaan BN pimpinan beliau akan terus memberi keutamaan dalam soal pendidikan negara, selain mengutamakan aspek itu pada pembentangan Bajet 2013 Jumaat ini.

 “Sebab itu soal pendidikan ini, adalah suatu perkara yang paling utama. Tiap-tiap tahun Perdana Menteri menyediakan satu peruntukan yang besar, lebih kurang 26 peratus daripada belanjawan negara disediakan untuk pendidikan,” katanya.