Halaman

26 September 2012

KERAJAAN BERI PELUANG TIMBA KEMAHIRAN DAN KERJAYA DI AKADEMI BINAAN

Oleh: Ruslan AR 

Anda, anak anda atau sesiapa yang ingin berjaya menjadi tenaga mahir dalam bidang pembinaan? Akademi Binaan Malaysia Wilayah Timur (ABMWT) yang terletak di Jenagor, Kuala Berang boleh membantu anda.

ABMWT sebagai sebuah institusi berkredibiliti dalam melahirkan tenaga mahir mengikut kehendak pasaran semasa. Secara ringkasnya, ABMWT ialah sebuah pusat latihan bagi Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dalam pembangunan dan peningkatan kemahiran dalam kalangan personel binaan.

Diwujudkan oleh kerajaan di bawah Kementerian Kerja Raya. Percaya atau tidak, pendapatan yang boleh diraih oleh lepasanya setiap bulan berupaya menandingi gaji yang diperoleh daripada kumpulan profesional.

Malah semasa masih dalam kursus mereka sudah ditempah oleh pihak syarikat dan agensi yang memerlukan tenaga mahir. Hakikat itu diakui oleh Pengarah CIDB Terengganu, Ahmad Fahrin Mokhtar, di mana perolehan pendapatan dalam industri pembinaan berskala besar terutama mereka yang terlibat dalam bidang minyak, gas, keselamatan dan kimpalan.

"Gaji bukan satu masalah, tapi kadang-kadang persepsi masyarakat yang menjadikan bidang ini kurang diminati," katanya ketika ditemui kelmarin di Kuala Terengganu.

Yang paling signifikan adalah untuk mewujudkan lebih ramai personel binaan berkemahiran penuh dan berkemahiran separa tempatan bagi mengurangkan pergantungan negara kepada pekerja asing.

"Selain itu, kita juga mahu menghasilkan dan memberi ruang bagi tenaga kerja tempatan yang terlatih untuk dieksport ke peringkat antarabangsa," katanya.

Terdapat dua jenis latihan kemahiran yang ditawarkan di ABMWT iaitu latihan kemahiran belia untuk lepasan sekolah dan latihan kemahiran untuk pekerja binaan tempatan.

Bagi program Latihan Kemahiran Belia tajaan CIDB Malaysia, seramai 750 telah dilatih pada tahun ini (2012) dan 112 orang lagi akan memasuki kursus ini pada awal Oktober nanti.

Ia melibatkan empat kursus iaitu Scaffolding, Steel Structure Erection and Fabrication, Gas Pipe Fitting dan Gas Pipe Insulation. Menurutnya, selain tajaan CIDB, pihak ABMWT juga menerima pelatih-pelatih yang ditaja oleh agensi atau pihak luar seperti Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) dalam bidang ‘welding’, pemasangan pendawaian bangunan dan jentera berat.

Katanya, berdasarkan kajian lepasan pelatih, didapati dari 14 941 orang belia yang telah menjalani latihan, 80 peratus telah berjaya bekerja di dalam industri pembinaan, malah ada yang telah menjadi kontraktor/sub kontraktor, penyelia dan sebagainya.

Difahamkan,bagi menyertai latihan di pusat ini, permohonan boleh dibuat melalui onlines atau dapatkan borang dari CIDB Kuala Terengganu, di Menara Yayasan Islam.