Halaman

27 September 2012

Payang Walk `hidupkan' Pasar Payang hingga tengah malam

Oleh: Aida Abd Rahman



Pasar Payang Kuala Terengganu dijangka tidak lagi sunyi tanpa pengunjung menjelang waktu malam apabila Kerajaan Terengganu memperkenalkan `Payang Walk’ di jajaran pusat perniagaan itu bermula dari depan Pusat Penerangan Pelancongan hingga ke persimpangan balai bomba, bermula 5 Oktober ini (Jumaat).

Inisiatif kerajaan negeri dengan kerjasama Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dan Yayasan Usahawan Terengganu berlangsung tiga hari seminggu bermula Jumaat hingga Ahad bagi menyemarakkan sambutan Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Dato’ Abdul Rahin Mohd Said, berharap semua peniaga termasuk di Bazar Warisan dan Pasar Payang memanfaatkan program itu bagi menarik kunjungan pelanggan selepas waktu kebiasaan mereka berniaga.

“Biasanya bermula jam 6 petang, kawasan itu tidak lagi menjadi tumpuan dan mula sunyi. Yang ada hanya peniaga buah-buahan meneruskan perniagaan sehingga waktu malam. “Kita mengharapkan semua peniaga di sekitar memberi sokongan kepada program ini memandangkan ramai pengunjung dan pelancong dijangka akan membanjiri kawasan yang sememangnya menjadi strategik dan menjadi tumpuan pengunjung khususnya pada hujung minggu,” katanya di sidang akhbar sempena program itu, di Tingkat 5, Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam (26 September).

Turut hadir, Ketua Sekretariat TMT 2013, Encik Ahmad Fathil Abd Ghani.

Dato’ Abdul Rahin berkata, bagi tujuan itu, jajaran sepanjang Pejabat Pos hingga persimpangan jalan berhampiran balai bomba hanya dibuka kepada pejalan kaki bermula jam 6 petang hingga 1 pagi kecuali untuk kenderaan yang mengangkut barang.

Beliau berkata, kemudahan dan hiasan lanskap termasuk konsep pencahayaan juga akan dipertingkatkan di kawasan sekitar dengan kerjasama MBKT bagi menambah tarikan dan menggamit kunjungan lebih ramai pelawat.

 “Kita juga sedang berurusan bagi mengadakan lelongan bazar malam secara pukal dan diadakan besar-besaran yang akan dijalankan selepas minggu perasmian (6 Oktober).

 “Malah kita harapkan dengan adanya aktiviti ini ia akan dapat memberi persepsi baru dengan konsep pencahayaan malam di bandar Kuala Terengganu lebih-lebih lagi di kawasan Syahbandar yang dibangunkan oleh MBKT dengan kemudahan dan hiasan yang begitu cantik dan menarik,” katanya.

Menurutnya, sebanyak 80 petak perniagaan yang melibatkan lapan zon akan dibangunkan dari Restoran Terapung hingga ke Pasar Payang merangkumi pelbagai jenis perniagaan seperti jualan produk kraftangan, pakaian, minuman, makanan, pelukis jalanan , barangan antik, ubatan tradsional, batu permata dan urutan tradisional.

 Selain itu, turut tersedia ruang korporat, kaunter untuk urusetia beca, `heritage’ dan `rivercruise’ dan pentas kebudayaan yang mempersembahan pelbagai keseniaan seperti wayang kulit, tarian serta nyanyian.

“Payang walk juga menyediakan perkhidmatan `Heritage Trail’ seperti perkhidmatan beca, menyusuri Sungai Terengganu dari Terengganu Waterfront hingga Taman tamdun Islam serta aktiviti melawat Bukit puteri.

“Orang ramai turut berpeluang menyertai pelbagai aktiviti termasuk memancing serta termasuk bermain congkak, dam aji dan lumba beca. Di situ juga disediakan ruang bagi menunjukkan bakat dan meningkatkan kreativiti seperti mencanting batik, membuat wau, mengayam tikar dan juga menghasilkan ukiran seni berbentuk interaktif , iaitu melukis mural,” katanya.

Sementara itu, Payang Walk dijangka akan dirasmikan Menteri Besar, Dato' Seri haji Ahmad Said pada malam 6 Oktober ini.

Sehubungan itu, sempena perasmian dan juga keputeraan Sultan Terengganu turut diadakan Pertandingan Bot Berhias yang disertai 25 jabatan kerajaan dan agensi swasta serta pertunjukan bunga api.