Halaman

26 September 2012

Peserta kursus imam dan bilal dari Nusantara melawat Masjid Ulul Albab


Oleh:  Mohammad Ishak


Keunikan seni bina bercirikan ukiran Melayu yang terdapat di Masjid Kayu Ulul Albab, Seberang Jertih, di sini, menarik perhatian serombongan imam dan bilal dari Nusantara yang singgah seketika untuk melihat keindahan masjid itu baru-baru ini.

Mereka ialah dari Kemboja, Indonesia dan Thailand berkesempatan melawat masjid itu sebagai salah satu siri lawatan sempena kehadiran mereka menyertai kursus di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Wilayah Timur di Bukit Keluang, Besut.

Kursus lima hari di bawah anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bertujuan mendedahkan peserta khususnya dari negara Islam di Asean mengamati perkembangan dan pembangunan syiar Islam di negara ini.


Penyelaras kursus,Nik Mohd Sukiman Yusof berkata, selain masjid Ulul Albab, peserta juga dibawa melawat  Sekolah Menengah Imtiaz Besut yang juga terkenal dengan kemampuan pelajar menguasai bahasa dan agama selain sains dan teknologi.

Peserta  kursus terbabit  sebahagian besarnya pertama kali menjejak kaki di negara ini amat kagum dengan pembangunan yang berteraskan Islam dilaksanakan kerajaan.

Mereka juga kagum dengan keindahan seni bina Islam yang terdapat pada Masjid Ulul Albab yang pembinaanya tidak menggunakan paku selain strukturnya menggunakan kayu jati.

Masjid berharga RM12 juta dan mampu mengisi kira-kira 800 jemaah dalam sesuatu masa dirasmikan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abiddin,pada Februari lalu,kini menjadi tumpuan orang ramai khususnya pelancong yang berkunjung ke daerah ini untuk melihat masjid itu.