Halaman

24 September 2012

Dua ribu pelajar sekolah menengah terima BKP

Oleh; Esah Abdullah

Seramai 2,000 pelajar sekolah menengah di negeri ini tersenarai sebagai penerima baru Biasiswa Kecil Persekutuan (BKP) Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) yang dijangka akan menerima surat tawaran selewat-selewatnya awal Oktober depan.

Penolong Pengarah (Tajaan) Biasiswa, Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) , Puan Norehan Sulong berkata pada masa ini senarai penerima yang layak telahpun diperolehi dan penghantaran surat tawaran sedang dalam proses secara berperingkat.

Menurut beliau, melalui BKP setiap pelajar akan menerima biasiswa sebanyak RM70 sebulan, kecuali pelajar tingkatan enam aliran sastera akan menerima sebanyak RM90 sebulan dan tingkatan enam aliran sains sebanyak RM110 sebulan yang membabitkan peruntukan keseluruhan RM2.6 juta.

``Penerima biasiswa baru merupakan pelajar tingkatan satu dan tingkatan enam rendah di mana 8,000 permohonan diterima,’’ katanya.

Tambahnya, tahun ini KPM memperuntukan RM15.2 juta untuk membiayai BKP kepada kira-kira 17,800 pelajar di negeri ini termasuk 2,000 penerima baru.

Katanya tahun lalu JPNT menerima memperuntukan kira-kira RM14.5 juta melibatkan lebih 17,600 pelajar.

Selain itu katanya, pelajar yang layak memohon BKP bergantung kepada beberapa kreteria yang ditetapkan iaitu sosial ekonomi dengan pendapatan keluarga RM1,500 ke bawah, cemerlang akdemik dan kokurikulum.

Katanya, JPNT akan membuat saringan selepas menerima permohonan daripada pihak sekolah sebelum di hantar kepada kementerian bagi memastikan pelajar yang layak dan memenuhi kreteria yang ditetapkan. Bagaimanapun bilangan itu juga bergantung kepada peruntukan yang diluluskan.

Menurutnya, JPNT boleh menarik balik bantuan BKP yang diberikan jika pelajar berkenaan dikenal pasti melanggar disipilin sekolah, tetapi bilangan itu agak kecil dan hanya merupakan kes terpencil.