Halaman

26 September 2012

TPM puji kecemerlangan Terengganu

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Kecemerlangan Terengganu di bidang pendidikan hingga menjadi juara semua peperiksaan awam di negara ini, mendapat pujian daripada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, yang juga Menteri Pelajaran.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin  memalu gong sebagai gimik Perasmian Konvensyen Pemantapan Profesionalisme Pegawai-Pegawai Pelajaran Daerah Peringkat Kebangsaan Tahun 2012 sambil disaksikan oleh Menteri Besar Terengganu di Taman Tamadun Islam
“Kecemerlangan di bidang pendidikan di negeri Terengganu boleh menjadi contoh kepada negeri lain. Kejayaan ini agak sukar untuk ditandingan oleh negeri-negeri lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Konvensyen Pemantapan Profesionalisme Pegawai-Pegawai Pelajaran Daerah (PPD) Peringkat Kebangsaan 2012 dan Makan Malam Bersama Warga Pendidik di Pusat Konvensyen, Taman Tamadun Islam (TTI), malam tadi.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah dan saf kepimpinan negeri, hadir sama.

Turut hadir PPD dari seluruh negara, pegawai kanan Kementerian Pendidikan dan Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu serta semua pengetua dan guru besar di seluruh Terengganu.

Terengganu muncul juara UPSR buat tahun ke-11 berturut-turut, PMR (empat tahun berturut-turut) dan SPM serta STPM tiga tahun berturut-turut.

Pada 1 Mac lalu, Tan Sri Muhyiddin sendiri menyampaikan sijil Malaysian Book of Records (MBOR) berikutan kejayaan Terengganu muncul sebagai juara UPSR buat tahun ke-11 berturut-turut yang telah mencipta rekod di negara ini.

Dalam perkembangan lain, Timbalan Perdana Menteri berkata proses pengstrukturan semula Pegawai Pelajaran Daerah akan dilakukan secara berperingkat-peringkat bagi meningkatkan mutu pendidikan negara.

Beliau berkata, proses berkenaan yang bakal menyaksikan penambahbaikan sistem pendidikan negara akan lengkap sepenuhnya menjelang tahun 2014.