Halaman

23 September 2012

Sultan Mizan berangkat ke majlis persandingan anak MB



Oleh: Kamarudin Mat Akib

Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat ke majlis persandingan anak sulung Menteri Besar Terengganu yang diadakan penuh meriah di Taman Tamadun Islam, Kuala Terenganu, malam tadi.

Turut berangkat, Permaisuri Nur Zahirah dan Tengku Besar Terengganu serta orang-orang kenamaan. Hadir sama, Yang Dipertua Melaka, Tun Datuk Seri Utama Mohd Khalil Yaakob dan Ketua Menteri Melaka, Dato’ Seri Mohd Ali Mohd Rustam dan pembesar-pembesar negeri.

Majlis dimulakan kira-kira jam 8.30 malam dengan perarakan masuk kedua-dua mempelai, Nor Asdayana Dato’ Seri Haji Ahmad, 27, dan Mohd Hafiz Adnan, 24, ke dewan utama dan mereka bersanding di atas pelamin yang dihias indah.


Sultan Mizan Zainal Abidin dan Permaisuri Nur Zahirah, berkenan menyempurnakan acara merenjis air mawar dan diikuti oleh tetamu kehormat, termasuk ibu bapa pengantin perempuan, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri To’ Puan Seri Norliza Mahmud.

Puan Nor Asdayana dan suami diijabkabul di Kediaman Seri Iman pada sebelah malam 21 September. Kedua-dua pasangan itu mengikat tali pertunangan pada 15 Oktober tahun lalu.

Pada majlis ucapan selepas selesai majlis makan malam, Menteri Besar merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada baginda Sultan Mizan Zainal Abidin yang sudi mencemar duli bagi berangkat pada majlis itu.

Menteri Besar turut mendoakan agar kedua-dua mempelai dipanjangkan jodoh dan menjalani kehidupan berumahtangga dalam keadaan penuh harmoni. Baginda Sultan Mizan dan Permaisuri Nur Zahirah berangkat meninggalkan majlis kira-kira jam 10.30 malam.